Persiapan ke menara gading

Oleh: Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin

Pengenalan

SELEPAS para pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM destinasi selanjutnya adalah mendapatkan tempat di universiti atau institusi pengajian tinggi (IPT) dalam atau luar negara.

Harus diambil perhatian, kemasukan ke institusi berkenaan adalah berdasarkan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum dalam menentukan nilai merit pemohon.

Tahniah diucapkan dan pastinya bakal mahasiswa yang mendapat tawaran tersebut berasa amat teruja untuk melangkah ke universiti/IPT. Namun, calon harus mempersiapkan diri terlebih dahulu untuk mengelakkan kemungkinan timbul masalah kepada mereka untuk mengikuti pengajian dengan selesa di universiti/IPT.

Perkara berikut bertujuan membimbing bakal mahasiswa supaya dapat mempersiapkan diri sebelum melangkah ke destinasi menara gading masing-masing.

Kewangan

Sumber kewangan adalah faktor penting untuk menyiapkan diri melanjutkan pengajian ke universiti. Setiap pelajar yang berjaya perlu menyediakan sumber kewangan yang mencukupi. Di universiti awam misalnya, jumlah yang diperlukan ketika pendaftaran adalah sekitar RM1,500 hingga RM2,000.

Bagi mereka dalam kalangan keluarga berkemampuan, jumlah itu tidak menjadi satu masalah. Bagaimanapun, pelajar yang benar-benar tidak berkemampuan dinasihatkan terus menghubungi universiti/IPTberkenaan untuk dipertimbangkan dan dibantu mengatasi masalah bayaran yuran.

Pelajar berpeluang mendapat biasiswa atau pinjaman daripada penaja seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Majlis Amanah Rakyat, yayasan negeri serta badan-badan korporat yang lain.

Tetapi, bantuan itu hanya diperoleh pada lewat semester pengajian. Walaupun pihak penaja menyediakan wang pendahuluan kepada yang berjaya ke universiti/IPT, tetapi pelajar masih memerlukan sumber kewangan untuk menguruskan diri semasa permulaan pengajian. Tanpa wang yang cukup akan mendatangkan kesulitan kepada pelajar untuk meneruskan kehidupan di kampus.

Berdikari

Calon harus sedar bahawa kehidupan di kampus amat berbeza berbanding alam persekolahan. Para pelajar banyak dibantu oleh guru-guru dan ibu bapa dalam urusan persekolahan dan kehidupan, namun di kampus semuanya berbeza.

Oleh itu, sudahkah para pelajar bersedia menghadapi cabaran hidup baharu di kampus untuk berdikari? Pelajar harus melakukannya sendiri dan tahu bagaimana mengurus diri, mengurus perbelanjaan harian, malah harus pergi sendiri untuk berjumpa doktor sekiranya tidak sihat.

Sebagai pelajar, penjagaan kesihatan diri termasuk aspek pemakanan amat penting supaya ia tidak mengganggu pembelajaran. Alam kampus merupakan persekitaran baharu dengan dikelilingi para pelajar baharu yang sebahagiannya bakal menjadi rakan sekuliah.

Belajarlah bagaimana untuk tinggal dalam suasana harmoni dan baik bersama rakan sebilik. Hormatilah kehadiran mereka sebagaimana mereka menghormati kehadiran anda. Ini semua akan dapat mengelakkan pelajar daripada mengalami kejutan budaya baharu.

Keyakinan diri

Faktor keyakinan diri turut mempengaruhi termasuk pelajar yang cemerlang. Mungkin ada dalam kalangan pelajar berasa tidak yakin untuk berjaya apabila melangkah ke universiti/IPT. Oleh itu, pelajar perlu meningkatkan keyakinan diri dengan menanamkan sikap berani dan yakin boleh melakukannya sama seperti pelajar lain.

Keyakinan diri mampu membantu semasa pengajian di universiti. Tanamkan slogan “Saya Boleh, Saya Mampu Lakukan” dalam diri sendiri.

Kematangan Emosi

Faktor ini merujuk kepada tahap keupayaan indivudu untuk mengenali, memahami, mengurus, dan mengekspresikan emosi diri sendiri dengan berkesan serta dapat menyesuaikan diri dalam situasi baharu kehidupan.

Bakal mahasiswa perlu bersedia untuk mampu mengurus tekanan, “homesick”, konflik, dan perubahan persekitaran apabila menjejak kaki ke menara gading. Sudah tentu anda mengalami keadaan sedemikian yang serba baharu dalam kehidupan masing-masing. Pelajar yang matang emosi lebih cepat dan mudah menyesuaikan diri dan kekal fokus terhadap matlamat akademik masing-masing.

Pengurusan masa

Lazimnya, individu yang berjaya dalam hidup banyak bergantung kepada bagaimana untuk menguruskan masa dengan sistematik. Hal ini kerana pengurusan masa yang betul membolehkan pelajar menyusun aktiviti harian dengan teratur, mengutamakan tugasan penting selain mengelak daripada menangguh tugasan.

Aturlah penjadualan waktu seharian meliputi waktu kuliah, mengulang kaji, membuat tugasan, beribadat, bersuakan atau beriadah, mendengar muzik, melayari media sosial, mengurus diri, makan dan tidur. Dengan merancang jadual kehidupan secara seimbang, pelajar dapat meningkatkan produktiviti tanpa merasa tertekan.

Pengamalan pengurusan masa yang betul mampu menyeimbangkan akademik, sosial dan masa untuk diri sendiri dengan lebih efisien ketika di menara gading.

Kemahiran Komunikasi

Kemahiran ini merujuk kepada keupayaan pelajar untuk menyampaikan idea, maklumat, dan perasaan dengan jelas, berkesan, dan sesuai dalam pelbagai konteks, serta memahami mesej yang disampaikan oleh orang lain. Bakal pelajar universiti/IPT perlu memiliki kemahiran komunkasi dalam bentuk lisan, tulisan, mendengar, disamping kemahrian interpersonal dan kemahiran berunding.

Kemahiran komunikasi membantu pelajar berinteraksi dengan pensyarah, rakan sebaya, dan komuniti kampus. Selain itu, dapat membantu pelajar menyiapkan tugasan berkumpulan, pembentangan tugsan, serta dan membina rangkaian profesional dengan lebih berkesan. Oleh itu, para pelajar perlu menyiapkan diri dengan kemahiran komunikasi agar tidak mengganggu proses pembelajaran di menara gading kelak.

Kemahiran ICT

Kemahiran menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mejadi kewajiban masa kini kerana ia sangat diperlukan dalam pembelajaran di universiti. Di universiti/IPT, pelajar perlu mendaftar kursus secara dalam talian manakala semua tugasan akademik seperti kertas projek dan laporan amali harus ditaip menggunakan komputer dan dihantar kepada pensyarah menggunakan kemudahan ICT.

Malah, ketika pelajar ingin mencari bahan rujukan di perpustakaan pun, kemudahan itu digunakan untuk mencari bahan rujukan yang berjumlah jutaan naskhah. Selain itu, pelajar boleh mencari bahan-bahan rujukan tambahan dengan melayari Internet yang mempunyai banyak maklumat.

Sokongan Sosial

Sokongan sosial merujuk kepada bantuan, dorongan dan sumber yang diterima oleh pelajar daripada daripada keluarga, rakan sebaya, guru dan masyarakat dalam pelbagai bentuk seperti emosi, maklumat, kewangan, serta motivasi yang membantu mereka mempersiapkan diri dan menyesuaikan diri dengan keperluan kehidupan kampus. Hal ini kerana kehidupan yang bakal ditempuhi berbeza dengan suasana dan persekitaran yang baharu berbanding ketika berada di alam persekolahan.

Apabila para pelajar ditawarkan tempat pengajian maka, gunakan peluang yang diberikan itu dengan sebaiknya. Serlahkan bakat dan potensi yang dimiliki untuk menjadi pelajar cemerlangan dari segi akademik dan kokurikulum di kampus. Ingatlah, masih ramai di luar sana yang layak, tetapi tidak terpilih seperti anda.

Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin adalah dari Program Komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan juga Presiden Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE)

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *