NEW DELHI, 11 Nov – Pasukan keselamatan India menahan sekurang-kurangnya tiga doktor bersama beberapa individu lain kerana memiliki bahan mudah terbakar, raifal, peluru serta bahan terlarang dalam satu operasi besar-besaran membanteras keganasan di utara negara itu, lapor Xinhua.
Operasi antikeganasan berkenaan dijalankan di daerah Faridabad, negeri Haryana, dengan penahanan terbaharu melibatkan golongan profesional berkelulusan tinggi termasuk doktor, yang menimbulkan kebimbangan terhadap penglibatan individu terpelajar dalam aktiviti pengganas.
Menurut laporan India Today, antara yang ditahan ialah Dr Muzammil Shakeel, tenaga pengajar di Universiti Al-Falah di Faridabad. Dr Muzammil, yang berasal dari Kashmir yang ditadbir India, ditahan dalam operasi bersama polis Kashmir dan Haryana pada 9 November.
Pihak berkuasa turut menemui 360 kilogram bahan disyaki ammonium nitrat, yang sering digunakan untuk menghasilkan bahan letupan buatan sendiri (IED), disimpan dalam 12 beg dan beg pakaian di rumah suspek.
Pesuruhjaya Polis Faridabad, Satender Kumar Gupta, mengesahkan bahawa Dr Muzammil mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas yang telah diharamkan oleh kerajaan India.
Berdasarkan maklumat risikan, beberapa siri serbuan turut dijalankan di kampung Fatehpur Taga, daerah Faridabad, dan polis tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001