KHAN YUNIS – Hospital Nasser di selatan bandar Khan Yunis menerima 15 mayat tahanan Palestin di bawah perjanjian pertukaran yang dimeterai ketika gencatan senjata dilaksanakan.
“Kumpulan ke-10 mayat syahid Palestin tiba di Kompleks Perubatan Nasser di Semenanjung Gaza, dengan 15 orang syahid,” kata hospital itu dalam satu kenyataan, sambil menambah sebanyak 285 mayat diterima setakat ini di bawah perjanjian itu.
Pemulangan itu dilakukan sebagai pertukaran dengan mayat terbaru yang diserahkan dari Gaza sejak Selasa termasuk mayat anggota tentera Israel-Amerika, Itay Chen.
Mengikut syarat perjanjian gencatan senjata yang diusahakan AS sejak 10 Oktober, Israel akan memulangkan 15 mayat rakyat Palestin bagi setiap satu mayat tebusan Israel yang diterimanya dari Gaza.
Pada permulaan gencatan senjata itu, Hamas dilaporkan menahan 48 tebusan di Gaza terdiri daripada 20 masih hidup dan 28 meninggal dunia.
Sejak itu, kumpulan berkenaan membebaskan semua tebusan yang masih hidup, serta menyerahkan 21 mayat tebusan yang meninggal dunia.
Israel menuduh Hamas melambat-lambatkan proses pemulangan mayat tebusan yang mati, manakala pihak Palestin pula menjelaskan bahawa proses itu tersekat kerana ramai yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan di Gaza.
Hamas berulang kali merayu kepada pengantara dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) supaya menyediakan peralatan dan tenaga kerja yang diperlukan untuk mencari dan mengeluarkan mayat-mayat berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001