Filipina mulakan operasi pembersihan selepas Taufan Kalmaegi ragut 85 nyawa

CEBU – Penduduk di wilayah tengah Filipina mula menjalankan kerja-kerja pembersihan selepas Taufan Kalmaegi melanda kawasan itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 85 orang dan menyebabkan puluhan lagi hilang.

Imej kemusnahan besar muncul di wilayah Cebu yang paling teruk terjejas, dengan rumah musnah, kenderaan terbalik dan jalan-jalan yang tersumbat akibat timbunan runtuhan.

Penduduk menggambarkan banjir kilat yang “mengganas”, memusnahkan kediaman dan menenggelamkan kawasan kejiranan.

Antara yang terkorban ialah enam anggota tentera yang maut apabila helikopter mereka terhempas di Agusan del Sur, Mindanao, semasa misi kemanusiaan.

Agensi bencana negara turut melaporkan 75 orang hilang dan 17 cedera.

Di Cebu City, Marlon Enriquez, 58, membersihkan lumpur tebal dari rumahnya sambil cuba menyelamatkan barangan keluarga.

“Ini kali pertama berlaku kepada kami,” katanya kepada Reuters.

“Saya tinggal di sini hampir 16 tahun, dan belum pernah alami banjir seperti ini.”

Seorang lagi penduduk, Reynaldo Vergara, 53, berkata kedai kecilnya di Mandaue musnah selepas sungai berhampiran melimpah.

“Sekitar pukul 4 atau 5 pagi, air terlalu deras hingga tak boleh keluar rumah,” katanya kepada AFP.

“Air sangat mengganas.”

Taufan Kalmaegi melanda ketika wilayah Cebu masih dalam proses pemulihan daripada gempa bumi bermagnitud 6.9 bulan lalu yang meragut puluhan nyawa dan memaksa ribuan berpindah.

Menurut pakar kaji cuaca Charmagne Varilla, kawasan sekitar Cebu City menerima 183mm hujan dalam tempoh 24 jam sebelum taufan mendarat—jauh melebihi purata bulanan 131mm.

Hujan lebat itu mencetuskan banjir kilat dan menyebabkan sungai serta saluran air melimpah.

Lebih 200,000 orang telah dipindahkan di seluruh wilayah Visayas, termasuk Pulau Cebu serta bahagian selatan Luzon dan utara Mindanao.

Menjelang tengah hari Rabu, Kalmaegi bergerak keluar dari wilayah Palawan ke Laut China Selatan dengan kelajuan angin berterusan sehingga 130km/j dan tiupan kencang mencecah 180km/j.

Ramalan cuaca menjangkakan taufan itu akan terus menguat sebelum mendarat di Vietnam pada Jumaat.

China turut mengeluarkan amaran mengenai “gelombang bencana” di Laut China Selatan dan mengaktifkan tindak balas kecemasan maritim di wilayah selatannya, Hainan, menurut penyiar rasmi CCTV.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *