KUALA LUMPUR – Selepas penangguhan selama lapan tahun, CAB Cakaran Corporation Berhad (CAB), pengeluar makanan terbesar di Malaysia mengumumkan pengoperasian semula di Indonesia bersama rakan kongsinya, konglomerat terbesar Indonesia, The Salim Group yang akan dilaksanakan menjelang suku kedua 2026.
Dalam satu makluman kepada Bursa, CAB Cakaran berkata, selepas beberapa tahun tertangguh pelaksanaannya akibat pandemik Covid serta menunggu garis panduan dasar yang jelas berikutan pertukaran kerajaan di Indonesia, rakan kongsi usahasama telah bersetuju menerima pakai satu pelan perniagaan lima tahun yang baharu.
Di mana fasa satu melibatkan pelaburan sebanyak AS$10 juta (RM45 juta) untuk penubuhan sebuah loji pemprosesan makanan, tidak termasuk kos tanah dan bangunan kilang yang akan disewa.
Pelan perniagaan lima tahun itu akan merangkumi pelaksanaan perniagaan ternakan ayam bersepadu sepenuhnya di Indonesia.
Sebagai konteks, CABINDO Poultry Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh CAB Cakaran telah memeterai Perjanjian Usahasama dengan PT Ternak Ayam Terpadu Indonesia (TAT), iaitu unit di bawah Salim Group, untuk menubuhkan beberapa syarikat usahasama pada 1 November 2017.
Objektif usahasama ini adalah menggabungkan sumber dan kepakaran kedua-dua belah pihak bagi menghasilkan produk ayam halal untuk pasaran pengguna Indonesia.
Menerusi JV dengan Salim ini, CAB mempunyai kedua-dua rakan kongsi tempatan di Indonesia dan pangkalan pelanggan yang sedia ada untuk produknya.
Rangkaian dan capaian Salim Group di Indonesia adalah luas dan dalam industri makanan, aset Salim termasuklah Indomaret, rangkaian kedai serbaneka terbesar di Indonesia dengan 22,400 cawangan, Indofood Sukses Makmur, pengeluar mi segera terbesar di dunia dan Bogasari, pengilang tepung terbesar di Indonesia. Ia tidak mempunyai operasi ternakan ayam.
Tambahan pula, peluang di Indonesia adalah amat besar berdasarkan populasinya dan penggunaan ayam per kapita yang rendah di negara itu pada masa ini.
Indonesia mempunyai populasi 275 juta orang, lapan kali ganda populasi Malaysia.
Penggunaan ayam per kapita di Indonesia hanyalah 8.4kg/tahun berbanding 50.5kg/tahun di Malaysia.
Selain industri makanan, Salim Group juga terlibat dalam perniagaan merangkumi pelbagai industri, termasuk kewangan, peruncitan, telekomunikasi, automotif dan hartanah. Ia memiliki empat syarikat senaraian awam di Indonesia, Perancis dan Hong Kong.
Salim Group memiliki 15.2 peratus kepentingan ekuiti dalam CAB melalui Plant Wealth Holdings Ltd.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001