Malaysia perkukuh kepimpinan pendidikan tinggi serantau melalui ASHELF 2025

Oleh: Bazli Razak

PUTRAJAYA – Malaysia terus memperkukuhkan peranan kepimpinannya dalam pendidikan tinggi serantau menerusi penganjuran ASEAN Higher Education Leadership Forum (ASHELF) 2025, yang berlangsung sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Forum berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) sebagai penganjur bersama itu menghimpunkan pemimpin Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), pembuat dasar, ahli akademik dan rakan industri dari seluruh rantau ASEAN bagi membincangkan hala tuju masa depan pendidikan tinggi yang lebih mampan, inklusif dan inovatif.

Bertemakan “Reimagining the Future of Higher Education in ASEAN”, ASHELF 2025 memberi tumpuan kepada enam bidang utama iaitu Pengajaran dan Pembelajaran, Penyelidikan dan Inovasi, Akademia Muda, Kesihatan Planetari, Kecerdasan Buatan (AI) serta Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Setiausaha Agung ASEAN, H.E. Dr. Kao Kim Hourn, dalam ucaptama beliau bertajuk “ASEAN Higher Education Leadership: Navigating the Future Together”, menekankan keperluan kepimpinan yang berwawasan, tangkas dan autentik dalam menghadapi perubahan landskap pendidikan global.

Beliau turut menyeru agar institusi pendidikan tinggi ASEAN memperkukuh kolaborasi rentas negara bagi membina ekosistem pengetahuan yang berdaya saing dan berteraskan nilai kemanusiaan.

Forum ini turut menekankan penerapan prinsip Diversity, Equity, Inclusion and Belonging (DEIB) dalam strategi pendidikan tinggi ASEAN, sejajar dengan Joint Declaration on the Common Space in Southeast Asian Higher Education, selain menyumbang kepada pembangunan Common Space Roadmap ke arah transformasi pendidikan tinggi serantau.

Sesi penutup ASHELF 2025 akan disempurnakan oleh Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon pada hari kedua program tersebut.

Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman berkata, penganjuran ASHELF 2025 menjadi bukti komitmen Malaysia khususnya UPSI dalam memperkukuh jaringan kepimpinan pendidikan tinggi di peringkat serantau.

“ASHELF bukan sekadar platform perkongsian ilmu, tetapi medan untuk kita membina kesepaduan strategik antara universiti, industri dan agensi serantau.

Menurut beliau, penyertaan ASHELF lebih dari 500 penyertaan itu membuka ruang kepada universiti di rantau ASEAN untuk meneroka sinergi baharu, termasuk dalam bidang teknologi pendidikan, kecerdasan buatan dan TVET, ke arah melahirkan generasi pelajar yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Ia selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk melahirkan kepimpinan pendidikan tinggi yang berwawasan dan berdaya tahan.

“Dengan penyertaan pemimpin dan wakil akademik dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Vietnam, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Myanmar, ASHELF 2025 menandakan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh jaringan pendidikan tinggi ASEAN sebagai teras pembangunan modal insan dan daya saing global,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *