LONDON – Bekas bintang England, Wayne Rooney menggesa Arne Slot menyisihkan pemain rekod British, Alexander Isak selepas kekalahan mengejut 1-2 Liverpool kepada Manchester United di Anfield.
Kekalahan skuad kendalian Slot itu adalah kali keempat berturut-turut dalam semua pertandingan dengan Harry Maguire menjadi wira United apabila menjaringkan gol pada minit ke-84 — kemenangan pertama United di Anfield dalam tempoh lebih sedekad.
Sebelum itu, Cody Gakpo menyamakan kedudukan untuk Liverpool selepas Bryan Mbeumo membuka jaringan untuk United hanya 62 saat selepas sepak mula.
Isak, yang menyertai Liverpool dengan rekod yuran perpindahan £125 juta (RM710 juta) dari Newcastle United musim panas lalu, membuat penampilan ketiga berturut-turut dalam kesebelasan utama, namun terus gagal menjaringkan gol dan bergelut untuk menunjukkan prestasi meyakinkan di hadapan gawang.
Pemain antarabangsa Sweden itu masih belum menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan liga untuk Liverpool, walaupun pernah menyumbang gol dalam saingan Piala Liga.
Setakat ini, beliau hanya mencatat dua sumbangan gol dalam tujuh penampilan untuk semua pertandingan.
Pemain baharu yang turut tiba pada musim panas lalu, Hugo Ekitike — yang dibeli dengan harga £79 juta (RM448 juta) daripada Eintracht Frankfurt — menikmati permulaan cemerlang bersama Liverpool, dengan tiga gol dan satu bantuan gol dalam lima perlawanan EPL pertamanya, sebelum tempatnya diambil alih oleh Isak.
Justeru, Rooney yang juga legenda United, menggesa Slot supaya menyisihkan Isak, dengan alasan pemain itu masih bergelut kerana tidak menjalani pramusim penuh.
Sebelum memaksa perpindahan dramatiknya ke Anfield pada hari terakhir jendela perpindahan, Isak dilaporkan enggan berlatih bersama Newcastle United dan hanya meningkatkan tahap kecergasannya secara individu, jauh daripada kumpulan utama kendalian Eddie Howe.
“Saya tidak akan menurunkan Isak. Dia belum kelihatan bersedia sejak datang dari Newcastle,” kata Rooney dalam rancangan The Wayne Rooney Show.
“Dia tidak berlatih, tidak ada pramusim — itu sangat penting. Semasa pemain Newcastle lain sedang berlatih, dia mungkin duduk di rumah bercakap dengan ejennya selama enam jam sehari untuk urus perpindahan.
“Sangat sukar bermain tanpa pramusim. Dia mungkin ada berlatih sendiri, tetapi kini menanggung akibatnya. Berdasarkan prestasi semasa, dia tidak layak bermain menggantikan Hugo Ekitike,” kata Rooney. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001