Brentford malukan West Ham di laman sendiri

LONDON – Igor Thiago dan Mathias Jensen masing-masing meledak gol ketika Brentford menewaskan West Ham 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menghadiahkan rekod pahit buat tuan rumah apabila tewas empat perlawanan liga berturut-turut di laman sendiri pada awal musim.

Brentford melonjak ke tangga ke-13 dengan 10 mata daripada lapan perlawanan, manakala West Ham yang diejek penyokong sendiri kini di tangga ke-19 dengan hanya empat mata.

Pengurus baharu West Ham, Nuno Espirito Santo jelas melihat betapa berat tugas menantinya apabila anak buahnya tampak ketinggalan dalam setiap perebutan bola dan hanya palang serta ketumpulan penyudah Brentford mengelak mereka daripada dibolosi lebih banyak gol.

“Amat melegakan apabila kami dapat tiga mata dan keluar daripada zon penyingkiran,” kata pemain tengah Brentford, Mikkel Damsgaard.

“Kami sebenarnya terlepas banyak peluang, terutama daripada situasi bola mati yang sepatutnya boleh hasilkan lebih banyak gol, tetapi kami gembira dengan tiga mata. Kami mula menemui rentak dan semakin serasi sebagai satu pasukan.”

Beberapa ribu penyokong West Ham dilapor tidak hadir ke stadium sebagai tanda protes terhadap pengerusi David Sullivan dan timbalannya, Karren Brady menyebabkan banyak tempat duduk kosong ketika sepak mula.

“Ia berakhir 2-0 tetapi sebenarnya boleh jadi lebih teruk,” kata kapten West Ham, Jarrod Bowen.

“Kami bermula agak baik dengan beberapa sepakan sudut, tetapi cara kami bolos dua gol itu amat mengecewakan.

“Kami hanya boleh jadi lebih baik dengan menilai semula kesilapan yang kami lakukan. Setakat ini, kami memang tidak lakukan apa-apa dengan baik musim ini.”

Brentford yang sebelum ini tewas dalam tiga aksi liga di tempat lawan musim ini, tampil garang dengan 22 percubaan ke arah gawang – jumlah tertinggi mereka di tempat lawan dalam saingan EPL.

Gol yang dinanti-nanti Brentford akhirnya hadir pada minit ke-43 apabila hantaran jauh dikawal kemas oleh Kevin Schade di hujung kotak penalti sebelum menolak bola kepada Thiago.

Percubaan penyerang itu sempat ditepis oleh penjaga gol West Ham, Alphonse Areola namun bola tetap meluncur masuk perlahan ke penjuru gawang.

Babak kedua menyaksikan Brentford terus menguasai permainan dan Schade hampir menambah jaringan apabila tandukannya menggegarkan palang pada minit ke-60.

West Ham tidak pernah kelihatan mampu menyamakan kedudukan dan Brentford mengesahkan kemenangan 2-0 dengan hampir sepakan terakhir perlawanan apabila Jensen menerima bola di dalam kotak penalti dan merembat kencang dari jarak 15 ela untuk menutup malam suram tuan rumah. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *