KUALA LUMPUR – Bedah siasat ke atas seorang pelajar Universiti Malaya (UM) yang maut selepas terjatuh dari kolej kediaman petang tadi, akan dijalankan malam ini di Jabatan Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shamsudin Mamat berkata, pihaknya mengesahkan kejadian membabitkan pelajar lelaki berusia 22 tahun itu pada jam 3.15 petang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM pada jam 4.25 petang. Polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan berasingan, UM memaklumkan pelajar tersebut disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan kecemasan di PPUM.
“Seluruh warga UM menzahirkan rasa sedih dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham. Jabatan Hal Ehwal Pelajar kini menyalurkan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga terlibat.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa dan UM memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan tersebut,” menurut kenyataan itu.
UM turut menyeru semua pihak agar menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan insiden berkenaan. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001