Trump, Sisi akan pengerusikan sidang kemuncak damai Gaza esok

KAHERAH – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi akan bersama-sama mempengerusikan sidang kemuncak mengenai Gaza di Sharm el-Sheikh esok.

Menurut kenyataan Pejabat Presiden Mesir semalam, mesyuarat berkenaan dijadualkan berlangsung pada petang Isnin dengan penyertaan lebih 20 pemimpin negara.

Sidang berkenaan bertujuan menamatkan peperangan di Semenanjung Gaza, memperkukuh usaha mencapai keamanan dan kestabilan di Asia Barat, serta membuka era baharu keselamatan dan kestabilan serantau.

Antara pemimpin yang mengesahkan kehadiran ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres; Perdana Menteri Britain, Keir Starmer; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; dan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut mengesahkan akan hadir.

Bagaimanapun, tiada pengesahan setakat ini sama ada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan menyertai persidangan itu, manakala Hamas mengesahkan tidak akan mengambil bahagian.

Ahli Biro Politik Hamas, Hossam Badran, memberitahu AFP bahawa kumpulan pejuang Palestin itu ‘tidak akan terlibat’.

“Hamas sebelum ini bertindak terutamanya melalui perantara Qatar dan Mesir dalam rundingan mengenai Gaza,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *