Hatrik Haaland bantu Norway belasah Israel 5-0

OSLO – Erling Haaland meledak hatrik untuk meraikan gol ke-50 antarabangsa ketika Norway membelasah Israel 5-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi, sekali gus meletakkan mereka semakin hampir ke pusingan akhir tahun depan.

Kemenangan bergaya itu mengekalkan rekod sempurna Norway dalam Kumpulan I dengan enam kemenangan daripada enam perlawanan, mengumpul perbezaan jaringan +26 menjelang baki dua aksi menentang Estonia dan Itali di tangga kedua, yang kini enam mata di belakang dengan beraksi kurang satu perlawanan.

Perlawanan itu berlangsung dengan kawalan keselamatan ketat susulan protes yang dijangka berlaku, dengan kawasan tempat duduk sekitar kira-kira 100 penyokong Israel diasingkan daripada penyokong tuan rumah.

Peminat bola sepak Norway dilaporkan berbelah bahagi mengenai penyertaan Israel pada kempen kelayakan berikutan perang di Gaza.

Sebelum sepak mula, ratusan penyokong pro-Palestin berhimpun di luar Parlimen Norway, sebahagian besar memakai jersi pasukan kebangsaan Palestin.

Mereka berarak menuju Stadium Ullevaal sambil membawa bendera Palestin dan suar merah, dengan bangunan sekitar turut mempamerkan kain rentang solidariti dari balkoni.

Ketika lagu kebangsaan Israel berkumandang, laungan boo bergema di seluruh stadium manakala penyokong tuan rumah mengibarkan bendera gergasi Palestin bersama kain rentang bertulis “Let children live“.

Aksi di tengah padang pula menyaksikan Israel menambah derita sendiri apabila dua pemain mereka Anan Khalaili dan Idan Nachmias menjaringkan gol sendiri pada babak pertama.

Haaland yang sebelum itu gagal menyempurnakan dua sepakan penalti pada awal permainan, bangkit mempamerkan kelas sebenar dengan menjaringkan satu gol sebelum rehat dan dua lagi selepas babak kedua bermula, menjadikan jumlah keseluruhan 51 gol dalam 46 penampilan antarabangsa.

Selesai perlawanan, ribuan penyokong Norway terus berada di dalam stadium sambil menyanyikan lagu “Norway akan layak ke Piala Dunia” mengikut rentak We’re Not Gonna Take It oleh kumpulan Twisted Sister, percaya penantian sejak 1998 akan berakhir.

“Kami masih ada dua perlawanan lagi,” kata pemain sayap muda Antonio Nusa kepada TV2.

“Kami beraksi dengan amat baik hari ini dan perlu menikmatinya. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi sekarang kami mahu raikan detik ini.” – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *