Annuar beri dua pilihan kepada Zaliha berkait Kampung Sungai Baru

PETALING JAYA – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberikan dua pilihan kepada menteri sekarang, Dr. Zaliha Mustafa berhubung penjelasan isu Kampung Sungai Baru di Parlimen semalam.

Annuar mencadangkan Dr. Zaliha mengulangi kenyataannya dalam suatu audio siar pilihan Annuar untuk dijawab pada minggu depan atau beliau memberikan ulasannya pada suatu sidang pasca Kabinet oleh Zaliha, pada Rabu depan.

Beliau yang kini bersama PAS memberikan tempoh kepada Zaliha sehingga 12 Okt ini untuk menjawab ‘tawaran’ ini.

“Sekiranya Datuk Seri gagal berbuat demikian, saya akan menimbangkan langkah-langkah lain yang sesuai termasuk tindakan undang-undang yang sewajarnya,” dipetik laporan FMT semalam.

Annuar mendakwa kenyataan Zaliha yang dilaporkan dengan meluas memberi gambaran dan fakta yang salah.

“Kenyataan ini memberi kesan amat besar khususnya kepada reputasi, integriti dan nama baik saya apabila tuduhan ditujukan secara langsung kepada saya berdasarkan fakta yang salah sama sekali,” dakwanya.

Semalam, Zaliha memberitahu Dewan Rakyat bahawa pewartaan pengambilan tanah melibatkan Kampung Sungai Baru pada 2021 dibuat secara tergesa-gesa.

Menurutnya, permohonan pemaju untuk mengambil tanah termasuk unit flat dan lot teres dipertimbangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian pada 9 Sept 2020, dipengerusikan Annuar.

Manakala pewartaan Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah (APT) dilaksanakan pada 18 dan 21 Jun 2021 — dalam tempoh tiga hari sahaja, iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Zaliha berkata menteri ketika itu perlu ditanya tentang keputusan tersebut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *