Tentera Israel bunuh 118 rakyat Palestin dalam tempoh empat hari walaupun Trump gesa gencatan senjata

GAZA CITY – Seramai 118 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh empat hari serangan udara dan artileri oleh tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza, sekali gus mengingkari gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, supaya serangan dihentikan.

Menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza kelmarin, Israel melancarkan lebih 230 serangan antara Sabtu hingga Selasa lalu dengan menyasarkan kawasan kediaman padat dengan penduduk dan pusat penempatan sementara di seluruh Gaza.

“Pencerobohan ini jelas mengingkari gesaan gencatan senjata oleh Presiden Trump serta maklum balas positif terhadap cadangan damai beliau,” menurut kenyataan itu, yang turut menyifatkan serangan berkenaan sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’.

Dilaporkan, 72 daripada jumlah kematian berlaku di Bandar Gaza, membabitkan puluhan wanita dan kanak-kanak.

Pejabat itu turut menegaskan, Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan berterusan dan menggesa pentadbiran AS serta komuniti antarabangsa bertindak segera, tegas dan berkesan bagi menghentikan keganasan serta memastikan gencatan senjata sebenar dapat dicapai.

Sabtu lalu, Trump menggesa Israel supaya menghentikan pengeboman susulan penerimaan positif pejuang Hamas terhadap pelan gencatan senjata 20 perkara yang antara lain merangkumi pertukaran tahanan dan pelucutan senjata kumpulan itu.

Dalam hantaran di Truth Social, Trump memaklumkan rundingan hujung minggu lalu berlangsung dalam suasana positif dan cepat.

Rundingan secara tidak langsung antara Israel dan Hamas disambung semula di Sharm el-Sheikh, Mesir pada Isnin, dengan pengantaraan Mesir dan Qatar.

Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, berkata rundingan tertumpu kepada pertukaran tahanan, akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza serta penetapan pelan penempatan semula tentera Israel sebagai langkah ke arah pengunduran penuh.

Sejak Oktober 2023, lebih 67,100 rakyat Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel, sekali gus menyebabkan kemusnahan besar dan mendorong Gaza ke ambang kehancuran sepenuhnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *