SEREMBAN – Pavilion Negeri Sembilan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dikritik pengguna media sosial kerana didakwa kurang meriah berbanding pavilion negeri lain, akan dijadikan input untuk penambahbaikan pada penganjuran akan datang.
Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan, Datuk Razali Abu Samah berkata, pihaknya mengambil serius setiap teguran dan pandangan orang ramai berhubung persembahan pavilion berkenaan.
Menurut beliau, isu itu bukan sekadar membabitkan aspek hiasan atau dekorasi sebuah pavilion, sebaliknya turut berkait dengan cara Negeri Sembilan menampilkan wajah, identiti serta potensinya kepada pengunjung dari seluruh negara.
“Saya melihat perkara ini bukan sekadar soal sebuah pavilion, ia lebih besar daripada itu. Ia berkaitan bagaimana kita membawa wajah, identiti dan potensi Negeri Sembilan kepada pengunjung dari seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, Pavilion ‘Kekal’ Negeri Sembilan adalah projek di bawah Belanjawan Negeri Sembilan 2025, bukan projek di bawah portfolio Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan.
Katanya, projek berkenaan dimulakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) 2026 dan disiapkan di bawah pentadbiran baharu.
“Projek ini mengambil masa lapan bulan dengan kos hampir RM3 juta dan digunakan semasa MAHA 2026,” katanya.
Razali berkata, pavilion berkenaan kini menjadi aset milik Negeri Sembilan dan perkara yang lebih penting ialah memastikan kemudahan itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin selepas penganjuran MAHA.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau berkata, bagi penganjuran MAHA pada masa akan datang, konsep, reka bentuk, persembahan dan kandungan pavilion akan diteliti serta dinilai semula.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pengunjung bukan sekadar melihat produk yang dipamerkan, tetapi turut memahami dan menghayati identiti Negeri Sembilan.
“Kita mahu apabila seseorang melangkah masuk ke Pavilion Negeri Sembilan, mereka bukan sekadar melihat produk, tetapi merasai Negeri Sembilan.”
Razali turut menegaskan bahawa setiap kelemahan yang dikenal pasti akan diperbaiki, manakala aspek yang mempunyai potensi pula akan diperkasakan.
“Apa yang masih kurang, kita perbaiki. Apa yang mempunyai potensi, kita tambah nilainya. Kita tidak perlu terus melihat ke belakang.”
MAHA 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September lalu mencatatkan kehadiran kira-kira 4.3 juta pengunjung.
Razali berkata, pandangan dan maklum balas masyarakat akan terus diambil kira bagi memastikan penyertaan Negeri Sembilan dalam MAHA pada masa hadapan bukan sekadar memenuhi ruang pameran, sebaliknya menjadi platform berkesan untuk menarik pengunjung serta memperkenalkan identiti, produk dan potensi negeri itu kepada masyarakat.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
