KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mendesak kerajaan Madani menyingkirkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing susulan tindakannya beliau yang didakwa tidak menghormati sensitiviti umat Islam dalam satu majlis rasmi baru-baru ini.
Ahli Dewan Tertinggi PUTRA, Mohamed Shahrin Ismail berpendapat, insiden berkenaan telah mencalarkan imej Malaysia sebagai negara Islam dan menggambarkan kurangnya kepekaan terhadap budaya serta adat resam rakyat majoriti Muslim.
“Kerajaan Madani perlu segera membuat keputusan supaya Menteri Pelancongan diundurkan dan digantikan dengan individu yang lebih memahami corak, budaya, adat resam, agama dan bangsa Malaysia, khususnya bagi masyarakat Islam yang menjadi majoriti rakyat negara ini.
“Bahkan, tindakan yang dikaitkan dengan menteri tersebut, yang didakwa meminum minuman beralkohol dalam satu majlis rasmi yang turut melibatkan kehadiran tetamu antarabangsa telah memberi tamparan hebat kepada masyarakat Islam dan menjejaskan imej Malaysia sebagai negara Islam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan, kerajaan Madani yang membawa konsep Islam moden, tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana individu dalam pentadbiran yang gagal menghormati sensitiviti agama Islam.
“Menghidangkan alkohol dalam majlis rasmi kerajaan, apatah lagi apabila ada wakil kerajaan yang turut sama meneguk minuman beralkohol di khalayak ramai amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku dalam konteks budaya Malaysia,” katanya.
Mohamed Shahrin juga membandingkan insiden berkenaan dengan beberapa peristiwa terdahulu yang mencetuskan reaksi awam, termasuk kontroversi jenama minuman keras Timah yang menggunakan imej seakan lelaki Muslim, serta video pesta muda-mudi di dalam gerabak KTM.
Menurutnya, insiden sebegitu menunjukkan “trend yang membimbangkan” apabila nilai dan sensitiviti agama semakin dipandang remeh oleh segelintir pihak.
“Apabila majlis rasmi kerajaan sendiri membenarkan perkara seperti ini berlaku, ia bukan sahaja menyinggung umat Islam, tetapi turut menunjukkan kelemahan integriti seorang pemimpin yang diangkat oleh rakyat,” tegas beliau.
PUTRA turut mengingatkan kerajaan agar merujuk kepada Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, untuk melucutkan jawatan menteri sekiranya berlaku pelanggaran etika atau tindakan yang menjejaskan maruah pentadbiran.
Parti itu menegaskan langkah tersebut perlu diambil segera bagi “menutup aib” dan memulihkan semula imej kerajaan Madani.
“Tiada tindakan lebih relevan melainkan mengundurkan Tiong King Sing daripada jawatannya sebagai Menteri Pelancongan. Ini akan memberi mesej jelas kepada semua pemimpin, sama ada Muslim atau bukan Muslim, agar tidak mencampuradukkan urusan duniawi dengan nilai agama dan etika,” katanya lagi.
PUTRA turut menyokong pendirian CUEPACS yang baru-baru ini mengingatkan penjawat awam agar mematuhi Surat Pekeliling Kerajaan WP5.1, yang melarang penghidangan minuman beralkohol dalam majlis rasmi kerajaan.
Mohamed Shahrin berkata, larangan tersebut seharusnya diterapkan kepada semua pemimpin tanpa mengira agama kerana kesan negatif alkohol bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah mencerminkan budaya yang tidak sesuai dengan nilai masyarakat Malaysia.
Beliau menegaskan, tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mencemar imej negara adalah penting untuk mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan semasa.
“Bertindaklah segera demi maruah negara dan kesejahteraan umat. Jangan biarkan insiden ini menjadi normalisasi kepada perbuatan yang tidak menghormati Islam,” tegas Mohamed Shahrin.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001