Khabib ‘cuit’ McGregor susulan penggantungan 18 bulan

DUBLIN – Bekas juara dunia UFC, Khabib Nurmagomedov, memuat naik berita penggantungan 18 bulan Conor McGregor oleh UFC.

Khabib menewaskan McGregor menerusi kuncian pada pusingan keempat dalam pertarungan bersejarah tahun 2018.

Menurut Agensi Anti-Doping Sukan Tempur (CSAD), McGregor gagal memaklumkan lokasi keberadaannya pada tiga tarikh berbeza — 13 Jun, 19 September dan 20 September 2024, sekali gus melanggar Dasar Anti-Doping UFC.

Susulan kegagalan itu, McGregor dikenakan penggantungan selama 18 bulan, yang dikira semula bermula 20 September 2024 (tarikh pelanggaran ketiga), dan hanya akan layak bertarung semula selepas 20 Mac 2026.

CSAD dalam kenyataan menjelaskan bahawa McGregor ketika itu sedang pulih daripada kecederaan jari kaki dan tidak bersedia untuk bertarung, namun tetap menerima tanggungjawab penuh atas pelanggaran berkenaan.

Atas kerjasama dan penjelasan terperinci yang diberikannya, CSAD mengurangkan hukuman standard 24 bulan kepada 18 bulan.

Ini adalah kesalahan doping pertama dalam karier UFC McGregor.

Juara dua divisyen itu belum mengulas tentang keputusan berkenaan, sebaliknya baru-baru ini memaklumkan akan berehat daripada media sosial selepas menarik diri daripada pemilihan presiden Ireland.

McGregor, 37, tidak beraksi sejak patah kaki ketika menentang Dustin Poirier pada Julai 2021, dan sebelum ini dijadual kembali berdepan Michael Chandler pada Jun 2024, namun terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Presiden UFC, Dana White, sebelum ini menyatakan McGregor berpeluang kembali ke oktagon pada acara khas di Rumah Putih pada 14 Jun 2026, sempena sambutan ulang tahun ke-250 Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat.

White berkata: “Conor sangat bermotivasi untuk kembali. Acara di Rumah Putih bakal menjadi pentas terbesar dalam sejarah UFC — dan dia mahu berada di sana.”

Dengan Khabib yang kini bersara sejak tahun 2020, pertembungan semula antara dua musuh ketat itu kekal hanya sebagai impian peminat seni bela diri campuran. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *