Oleh: Bazli Razak
TANJONG MALIM – Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menekankan 10 pesanan utama kepada lebih 4,000 pelajar baharu sebagai panduan untuk menempuh kehidupan kampus.
Beliau berkata, pesanan itu bukan sekadar panduan harian, malah merupakan nilai teras yang harus dihayati setiap mahasiswa agar mampu menjadi graduan yang berilmu, berakhlak mulia serta berdaya saing di peringkat global.
Antara pesanan beliau ialah pelajar perlu menjaga diri dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan seimbang, selain menitikberatkan adab, akhlak dan ilmu sepanjang pengajian.

“Mahasiswa mesti pandai mengurus masa supaya bijak menyeimbangkan akademik, kokurikulum dan kehidupan peribadi. Pada masa sama, mereka juga perlu berhemah dalam mengurus kewangan agar tidak terbeban dengan masalah hutang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bacaan Ikrar Pelajar Baharu UPSI di Dewan Tuanku Canselor, hari ini sempena Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA) ambilan September 2025/2026.
Md Amin turut mengingatkan mahasiswa supaya mempunyai cita-cita besar sejak awal pengajian sebagai motivasi untuk terus melangkah jauh, serta membiasakan diri dengan keupayaan multitasking bagi menghadapi pelbagai tugasan.
Beliau menegaskan, mahasiswa juga harus memiliki daya tahan tinggi dalam menghadapi cabaran, sama ada dari segi akademik mahupun kehidupan sosial, agar tidak mudah berputus asa.
Selain itu, katanya, pelajar perlu menghargai pengorbanan keluarga yang menjadi tulang belakang kejayaan, menanam rasa cinta kepada universiti sebagai alma mater, serta menghayati peranan utama mereka sebagai pendidik pada masa hadapan.

“Sepuluh pesanan ini adalah asas untuk membina jati diri Anak Kandung Suluh Budiman. Jika pelajar dapat menghayatinya, mereka bukan sahaja menjadi mahasiswa cemerlang, tetapi juga insan yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau.
MILLENIA yang berlangsung selama dua hari bermula 29 September lalu turut merangkumi pelbagai aktiviti pembangunan intelektual, kebudayaan dan interaksi sosial sebagai usaha UPSI memperkenalkan budaya kampus serta membina jati diri mahasiswa baharu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001