SUNGAI PETANI – Ketua Bahagian Bersatu Sungai Petani, Nik Fazli Nik Fathil menzahirkan kebimbangan dengan tindakan segelintir ahli parti yang didakwa membawa isu dalaman ke media sosial dan membuat kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan perpaduan serta imej parti.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar dan menegaskan segala rasa tidak puas hati, kritikan mahupun pertikaian dalam kalangan ahli perlu disalurkan melalui saluran sah parti seperti perbincangan dalaman dan prosiding di hadapan Lembaga Disiplin.
“Perlembagaan parti telah menetapkan tatacara serta mekanisme yang jelas dalam menangani sebarang pertikaian. Mengingkari peraturan ini bukan sahaja mencemar nama baik parti, malah boleh dianggap sebagai pelanggaran disiplin yang serius,” katanya.
Beliau turut menggesa Lembaga Disiplin Bersatu segera mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan dan mencetuskan kekeliruan dalam parti.
Nik Fazli turut menegaskan sokongan padu beliau terhadap kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Muhyiddin Yassin dan barisan kepimpinan parti, sambil menyeru semua ahli kembali kepada asas perjuangan dan memperkukuh perpaduan menjelang cabaran politik akan datang.
“Saya menyeru kepada semua ahli serta pemimpin parti untuk terus memelihara dan memperkukuh saf kepimpinan serta mengutamakan kesatuan dalam menghadapi cabaran mendatang,” tambahnya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001