PUTRAJAYA – Mantan Menteri Luar yang juga tokoh politik berpengaruh, Datuk Marzuki Yahya tampil dengan saranan tegas agar PAS dan Parti Bersatu kembali menghayati semangat “payung besar orang Melayu” yang pernah diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau menegaskan, gagasan penyatuan di bawah satu panji besar Melayu-Islam adalah kunci jika Perikatan Nasional (PN) berhasrat menggantikan kerajaan Madani pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Menurut beliau, perbalahan terbuka antara pemimpin dua parti utama gabungan itu hanya akan mengecewakan rakyat, khususnya golongan yang sudah lama menaruh harapan kepada PN sebagai alternatif bagi mengatasi beban kos sara hidup yang kian menghimpit.
“Rakyat mahukan penyelesaian kepada masalah harian mereka, bukan drama politik yang melelahkan. Jika PAS dan Bersatu masih bertelagah, mereka sendiri merosakkan kepercayaan pengundi,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan, perbezaan pendapat dalam gabungan adalah lumrah, namun cara menguruskannya membezakan antara kematangan politik dan kegagalan kepimpinan.
Jika ada masalah, katanya, duduklah semeja, bermusyawarah secara tertutup di meja rundingan, bukan berbalas mengeluarkan kenyataan di media yang mengundang musuh politik mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan.
Marzuki yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu menilai PRU16 sebagai medan penentu hala tuju negara, sekali gus menuntut strategi lebih bijaksana.
“Kerajaan Madani dilihat masih bergelut menstabilkan ekonomi dan mengawal kos sara hidup. Inilah peluang PN menawarkan agenda yang lebih jelas dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Namun ia hanya boleh dicapai dengan kesatuan sebenar, bukan persefahaman kosmetik,” ujarnya lagi.
Beliau menzahirkan kekhuatiran bahawa tanpa langkah penyatuan segera, pengundi Melayu-Islam mungkin beralih arah atau berasa bosan dengan pergolakan dalaman.
Katanya, konsep payung besar Melayu yang pernah diketengahkan Tun Mahathir bukan sekadar slogan, sebaliknya lambang penyatuan untuk mempertahankan kepentingan bangsa dan negara.
“PAS dan Bersatu perlu kembali kepada roh itu jika mahu diterima sebagai kerajaan baharu,” katanya.
Jelas beliau lagi, dalam konteks politik Malaysia yang sentiasa berubah, kesepaduan antara PAS dan Bersatu bakal menentukan sama ada gabungan itu mampu menjadi pilihan utama rakyat menjelang PRU16. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001