SHAH ALAM – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kedah kurang senang dengan tindakan Ketua Dewan Himpunan Pendokong Pas (DHPP), N. Balasubramaniam membaca sepotong ayat al-Quran ketika berucap pada Muktamar Agung Pas di Kedah baru-baru ini.
Menurut Ketua Penerangannya, Azrol Mansor, ayat al-Quran mempunyai cara bacaannya tersendiri dengan berpaksi kepada hukum tajwid.
Katanya, beliau bimbang apabila tersalah baca atau tersasar sebutannya, ia akan lari maksud yang dinyatakan dalam al-Quran.
“Kami meneliti ucapan Ketua DHPP dan kami menghargai apabila orang bukan Islam dapat menghayati isi kandung dan maksud ajaran agama Islam.
“Bagaimanapun, pada masa sama Perkasa Kedah juga merasa kurang senang apabila N. Balasubramaniam membaca sepotong ayat al-Quran beserta dengan terjemahannya di dalam ucapan tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan, kesucian ayat dalam al-Quran perlu dipelihara kerana ianya adalah ayat yang suci bagi umat Islam.
Perkasa juga, katanya, menggesa kepimpinan PAS supaya menegur sikap Ketua DHPP supaya tidak lagi membaca ayat suci al-Quran, memadai dengan mengungkap atau merujuk kepada terjemahannya sahaja.
“Perkasa menggesa N. Balasubramaniam untuk lebih berhati- hati pada masa akan datang tanpa perlu menyinggung perasaan umat Islam ketika menyampaikan ucapan.
“Kesucian agama Islam harus dipertahankan walau dengan apa jua cara sekali pun, apatah lagi bila ianya dilakukan dalam majlis penting,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001