HARI ketiga program Santai-Santai Seni Petang sempena Bengkel Penulisan Skrip Teater dan Persembahan Monolog anjuran PAKSI di Kampung Cita Jaya, Tanah Merah, Kelantan ibarat menutup tirai dengan pementasan alam.
Sepanjang tiga hari berkampung di Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Pak Kassim dari 14 hingga 16 September 2025, para peserta dan khalayak desa akhirnya disajikan dengan kemuncak persembahan yang penuh warna, rasa, dan getar sastera.
Sejak pagi, semangat para pelakon, yang juga peserta bengkel tidak pernah luntur. Latihan monolog dan sesi pembacaan skrip bergema tanpa henti.
Pak Kassim Muhamad, Cikgu Sharifah Naina Mohamad, Syarifah Khadijah Al-Jufri dan Cikgu Jamly Bahruldin mengasah suara, menghafal dialog dan menjiwai watak dengan penuh tekad.
Ia semata mahu memastikan setiap kata dan gerak tubuh kelak meninggalkan pesona kepada khalayak kampung yang kebanyakannya pertama kali bersua teater dan monolog.

Namun, langit petang tidak seindah sangkaan. Ketika penduduk kampung mula beransur-ansur memenuhi halaman, menanti pentas terbuka di bawah langit senja, awan gelap tiba-tiba menyelubungi.
Hujan lebat disertai angin kencang dan petir menyambar, seolah-olah alam turut menjadi pelakon tambahan dalam kisah sastera petang itu. Tetapi tiada seorang pun berganjak.
Anak-anak muda, warga emas dan tetamu jemputan tetap teguh berdiri, melindungi diri dengan payung dan kain sarung, menanti persembahan yang dijanjikan.
Lebih mengharukan, para penulis undangan dari jauh, penyair dan pemuisi, AnBakri Harun; Sasterawan Negeri Kelantan, Rosli K Matari; penyair Chu E-Liang dan Pengerusi Liga Penulis Kelantan, Dahri Zakaria tetap meredah kesesakan jalan kampung yang sempit dan basah.
Aplikasi navigasi yang membawa mereka melalui lorong kecil desa tidak mematahkan semangat. Mereka hadir, membawa aura penulis dan penyair, memeriahkan majlis seni yang jarang-jarang berlaku di pedalaman Kelantan.
Kerana tapak persembahan dilimpahi air hujan, pekarangan rumah Pak Kassim yang sederhana dijadikan pentas darurat. Lebih kurang 50 penduduk, termasuk anak muda, berhimpun rapat dalam ruang sempit.

Di sinilah seni menemukan kekuatan sebenarnya, bukan pada kemegahan lampu sorot, tetapi pada keakraban jiwa dan kesetiaan hadirin.
“Ini rahmat hujan daripada Allah,” bisik Pak Kassim, matanya redup menatap pentas kecil yang penuh semangat. Rahmat itu nyata, kerana hujan yang mencurah tidak meredam api seni yang telah dinyalakan.
Di balik tabir, bimbingan Datuk Dinsman, teateris tersohor tanah air, menjadi nadi yang menggerakkan segala-galanya. Bersama anak-anak seni seperti Pak Kassim, Cikgu Sharifah, Syarifah Khadijah Al-Jufri, Cikgu Jamly Bahruldin dan Manzaidi Mohd Amin, mereka meneruskan persembahan tanpa gentar.
Kata-kata Dinsman menyalakan keberanian:
“Tak timbul persembahan kita elok tak elok, persoalannya inilah teater yang kita boleh buat, walaupun belum siap. Kita dah buka apa itu sastera kepada orang kampung. Jadi mereka mengharaplah kita buat lagi”.

Kata-kata itu ibarat mantra, memaut hati semua yang hadir.
Antara yang mencuri perhatian adalah kehadiran Yang Dipertua Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Yang Mulia Bonda Fadzillah Hussin, bersama barisan AJKnya termasuk Puan Maimum Abdullah; Bendahari Agung Noatiqi Rasidi; dan Penolong Setiausaha Agung, Suhaila Salleh.
Bonda Fadzillah menambah seri petang itu dengan kesediaannya meminjamkan sanggul Puteri Saadong, yang disarungkan kepada pelakon memegang watak anak angkat Cik Siti Wan Kembang lakonan Syarifah Khadijah.
Kilauan sanggul keemasan di bawah lampu redup membuatkan penonton seakan kembali ke zaman legenda.
Puncak persembahan hadir melalui fragmen Puteri Saadong, nukilan skrip oleh Manzaidi, yang memukau khalayak dengan keindahan bahasa dan kehalusan emosi.

Syarifah Khadijah pula menggamit jiwa dengan monolog berjudul ‘Siti’, lakonan yang membuat penonton terdiam, seolah mendengar bisikan sejarah. Cikgu Jamli menambah variasi dengan fragmen Pak Sastro karya Pak Kassim, sementara penyair jemputan, AnBakri Harun, Chu E-Liang dan Dahri, menyulam kata-kata puitis dalam persembahan masing-masing.
Walaupun hujan tidak henti-henti, petang itu menjadi saksi keindahan sastera yang menembusi batas cuaca. Suara pelakon bercampur dengan deru hujan, petir menjadi gendang alam, dan angin bagai menyampaikan doa.
Di bawah langit senja yang basah, sastera tidak sekadar dipersembahkan, tetapi dihidupkan, dirasai dan dihayati.
Santai-Santai Seni Petang di Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Pak Kassim bukan sahaja sebuah acara seni, tetapi pernyataan cinta terhadap budaya dan kata-kata.

Ia membuktikan bahawa sastera mampu menyentuh setiap jiwa, sama ada di gedung megah kota atau di pekarangan rumah kampung, bahkan ketika hujan deras membawa rahmat.
Di hujung malam, ketika hujan mula reda, penduduk masih berbual-bual mengenai persembahan yang mereka saksikan.
Sastera telah menoreh kenangan dalam hati kampung kecil ini dan seperti pesan Dinsman, pintu sudah terbuka. Pasti akan ada lagi pertemuan seni, kerana mereka kini mengharap, menanti dan percaya bahawa sastera adalah milik semua, dari kota hingga desa. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001