KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini diberitahu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerima beg hitam berisi wang RM1 juta dengan tangan kanan sambil tersenyum.
Saksi ke-37 pendakwaan yang juga ahli perniagaan, G Gnanaraja, dalam keterangannya, berkata beliau sendiri menyerahkan beg berisi wang itu kepada Guan Eng yang juga Penasihat DAP.
Gnanaraja berkata, beg terbabit diserahkan kepada Guan Eng ketika perbincangan sulit di kediamannya sekitar jam 2 hingga 3 pagi pada 29 Ogos 2017 yang turut disertai bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
Terdahulu, saksi utama itu berkata, beliau sebelum itu menerima dua beg masing-masing berisi wang RM1 juta daripada Zarul Ahmad di Hotel Eastin Petaling Jaya pada 18 Ogos 2017, untuk diserahkan kepada Guan Eng.
Beliau berkata, satu daripada beg hitam itu dikeluarkan daripada bilik kerjanya lebih kurang pada jam 10 malam selepas menerima pesanan ringkas daripada Zarul Ahmad, yang mana ia kemudian diletakkan dalam kereta Bentley berwarna hitam miliknya.
“Selepas mengeluarkan daripada bonet kereta, saya menyerahkan beg terbabit kepada Lim Guan Eng sebelum beliau memasuki kereta untuk duduk di tempat duduk belakang.
“Lim Guan Eng menyambut beg yang diserahkan oleh saya dengan menggunakan tangan kanan sambil tersenyum. Saya dapat lihat selepas mengambil beg itu, beliau terus masuk ke dalam kereta dan meletakkan beg berkenaan di atas riba beliau.
“Saya menyerahkan beg berisi wang RM1 juta itu adalah kerana pernah diberitahu oleh Datuk Zarul Ahmad semasa perbualan telefon pada 23 Ogos 2017. Pada masa itu, Datuk Zarul Ahmad duduk di tempat duduk penumpang di hadapan,” katanya dipetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, saksi itu menjelaskan, selepas menerima dua beg hitam berkenaan daripada Zarul Ahmad, beliau menyimpan beg itu di dalam bilik kerjanya.
Menurut Gnanaraja, satu lagi beg dikeluarkannya pada 20 Ogos 2017 dari bilik kerja untuk dibawa dan diserahkan kepada Guan Eng ketika menghantar Ahli Parlimen Bagan itu ke Publika, Hartamas, di sini.
Menurut Gnanaraja, beliau menyerahkan beg itu sebagaimana yang sudah dimaklumkan oleh Zarul Ahmad kepadanya.
“Beg terbabit juga adalah beg yang sama dengan beg yang saya terima daripada Datuk Zarul di Hotel Eastin pada 18 Ogos 2017.
“Lim Guan Eng mengambil beg berkenaan dan selepas itu menepuk bahu Datuk Zarul Ahmad yang berada di tempat duduk pemandu.
Saya merasakan bahawa beliau menepuk bahu Datuk Zarul Ahmad adalah tanda ucapan terima kasih diatas pemberian beg itu yang berisi wang RM1 juta,” katanya.
Dalam pada itu, Gnanaraja berkata, sebelum menyerahkan satu daripada beg berkenaan kepada Guan Eng, mereka bertiga mengadakan perbincangan sulit (di kediamannya pada 29 Ogos 2017) lebih kurang sejam mengenai perjalanan, penerimaan serta pengeluaran kewangan projek terowong dasar laut.
Beliau berkata, pada pengetahuannya, nilai projek yang dianggarkan ialah berjumlah RM6.3 bilion dan jumlah 10 peratus daripada keuntungan projek ada disebutkan Guan Eng ketika itu.
“10 peratus daripada keuntungan berkenaan adalah untuk Guan Eng sendiri dan beliau juga ada menceritakan mengenai persetujuan Zarul Ahmad terhadap permintaannya (Guan Eng) berhubung 10 peratus daripada keuntungan projek terbabit,”.
“Perbincangan ini berlangsung selama lebih kurang satu jam. Lebih kurang pada jam 4 hingga 5 pagi, Lim Guan Eng memaklumkan kepada saya yang beliau ingin pulang.
“Saya tidak menanyakan ke mana hala tuju beliau selepas ini, dan kemudian mengiringi Lim Guan Eng dan Datuk Zarul Ahmad dari ruang tamu ke pintu keluar rumah saya.
“Kemudian, kenderaan yang dinaiki oleh Lim Guan Eng dan Datuk Zarul Ahmad beredar dari kediaman saya. Saya tidak tahu hala tuju mereka selepas itu. Saya masuk ke dalam rumah saya untuk berehat,” katanya.
Guan Eng yang didakwa dengan tuduhan pindaan pertama iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta.
Ia dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.34 juta antara Januari 2011 hingga Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua pula, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 2 pagi pada Mac 2011.
Selain itu, beliau turut berdepan dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.
Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, di Bangunan KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001