SumiSaujana catat pendapatan RM36.9 juta pada suku kedua 2025

KUALA LUMPUR – Kumpulan SumiSaujana Berhad (SumiSaujana) dan anak syarikatnya mencatatkan hasil kukuh pada suku kedua tahun kewangan 2025 dengan pendapatan RM36.9 juta.

Kumpulan turut merekodkan Untung Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM2.1 juta, mencerminkan daya tahan operasi dan kekuatan marginnya dalam industri bahan kimia khas minyak dan gas.

Pendapatan suku tersebut disumbangkan oleh pasaran Thailand dan Malaysia masing-masing berjumlah RM12.3 juta dan RM9.2 juta, mewakili lebih separuh daripada jumlah pendapatan suku tahunan.

Pasaran laim termasuklah dari Indonesia, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

Keuntungan kasar meningkat kepada RM13.2 juta dengan margin keuntungan kasar 35.7 peratus daripada 30.4 peratus pada suku sebelumnya.

PBT yang dilaporkan ialah RM2.1 juta selepas mengambil kira perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja sebanyak RM1.2 juta dan kerugian tukaran asing bersih sebanyak RM2 juta.

PBT diselaraskan tanpa item bukan berulang ialah RM5.3 juta, lebih tinggi daripada RM4.1 juta yang dicapai pada suku sebelumnya.

Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana, Norazlam Norbi berkata, momentum yang kukuh di pasaran teras dan pasaran baru disokong permintaan stabil bagi bahan kimia khusus merentas aplikasi penggerudian, pengeluaran dan penapisan.

“Dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh selepas penyenaraian, kami yakin dapat merebut lebih banyak peluang di seluruh Asia Pasifik, Timur Tengah dan Amerika Syarikat sambil memacu inovasi dan kelestarian,” katanya.

Pada suku kedua itu, anak syarikat milik penuh Kumpulan, Sumisaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd. (SSTCM), memperoleh kontrak di Sarawak, melibatkan pembekalan bahan kimia khusus, tenaga kerja, logistik dan sokongan teknikal mengukuhkan kerjasama jangka panjang dengan pengendali utama dalam sektor huluan O&G Malaysia.

Syarikat kekal optimis terhadap prospek industri walaupun terdapat ketidaktentuan global, termasuk perubahan tarif, ketegangan geopolitik, dan turun naik harga minyak.

Sejak penyenaraiannya di Pasaran ACE pada April 2025, syarikat telah melaksanakan pelan penggunaan IPO termasuk pemerolehan kemudahan baharu di Puncak Alam, pengembangan bahagian R&Dnya, dan pelaburan dalam inisiatif kemampanan seperti pemasangan sistem solar fotovoltaik.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *