Jenazah Zara Qairina selamat dikebumikan semula

SIPITANG – Jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir selamat dikebumikan kali kedua pada jam 1.15 awal pagi tadi.

Jasad pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Papar itu dikebumikan di tanah perkuburan sama, yang digali semula kelmarin bagi tujuan bedah siasat.

Pengebumian semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang itu mengambil masa kira-kira setengah jam selepas prosedur bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth I (HQE) yang mengambil masa lapan jam, selesai.

Prosedur bedah siasat bermula kira-kira jam 11 pagi dan selesai jam 7.30 malam.

Selepas prosedur bedah siasat selesai, kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham Zara Qairina meninggalkan HQE pada jam 9.20 malam dan tiba di tanah perkuburan di sini jam 12.41 tengah malam.

Walaupun hujan, ia tidak menghalang orang ramai termasuk keluarga dan kenalan Allahyarham Zara Qairina menunggu di sekitar kawasan perkuburan sehingga pengebumian selesai.

Kelmarin, penggalian semula kubur Zara mengambil masa lebih satu jam sebelum selesai pada jam 7.31 malam selepas dimulakan pada jam 6.04 petang.

Media sebelum ini melaporkan, Zara didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang pada jam 4 pagi 16 Julai lalu.

Zara disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.

Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *