KUALA LUMPUR – Harapan Malaysia untuk melangkah ke final acara kuadran lelaki Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2025 musnah selepas tewas 0-2 kepada Jepun di Songkhla, malam tadi.
Skuad negara yang dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Norfaizzul Abd Razak dan Mohammad Azlan Alias tumpas 11-15, 13-15 dalam aksi separuh akhir yang sengit berlangsung di Dewan Hatyai, Pusat Beli-Belah Central Hatyai.
Dalam pada itu, skuad regu berpasukan lelaki mengekalkan rekod bersih dengan memenangi dua lagi perlawanan Kumpulan B sekali gus mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.
Malaysia menumpaskan Laos 3-0 pada saingan di sebelah pagi diikuti keputusan sama pada aksi terakhir kumpulan menentang Jepun.
Pada Khamis, Malaysia membuka tirai saingan kumpulan dengan mengatasi Korea Selatan dan Myanmar, masing-masing menerusi keputusan 3-0. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001