Pempengaruh reka cerita: Bomba buat laporan polis

MUAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor membuat laporan polis terhadap seorang pempengaruh dan adik lelakinya susulan tindakannya memberi maklumat palsu berhubung kehilangannya di Sungai Tui, Bukit Kepong, Isnin lalu.

Ketua Zon 4 JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba II Norshuhada Amsari berkata, laporan dibuat semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar atas nasihat Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata, laporan itu dibuat kerana JBPM beranggapan perbuatan membuat laporan palsu itu adalah suatu tindakan yang tidak wajar dan menyebabkan pembaziran sumber dan masa.

“Ia juga membabitkan risiko keselamatan anggota pasukan penyelamat serta mengganggu tugas kecemasan lain. Tindakan ini turut menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadap agensi penyelamat dan pihak berkuasa jika tidak dibendung.

“Laporan dibuat jam 11.30 pagi semalam di IPD Muar. Pegawai penyiasat juga sudah pun mengambil keterangan saya selepas laporan dibuat.

“Laporan ini dibuat supaya orang awam mengambil iktibar, jangan buat perkara yang tidak berfaedah seperti ini. Saya tegaskan ia adalah tindakan yang tidak wajar kerana kami bimbang boleh mengganggu insiden kecemasan lain,” katanya ketika dihubungi.

Norshuhada berkata, sepanjang operasi berlangsung empat hari seramai 30 pegawai dan anggota JBPM dari Muar, Labis dan Pagoh dikerah ke lokasi untuk mencari mangsa sebaik menerima laporan.

Katanya, anggota pasukan penyelamat di air dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar digerakkan semasa operasi mencari lelaki itu.

“Kami mendapat tahu berita sebenar pada pagi Sabtu selepas dihubungi Ketua Polis Daerah Muar (Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz), memaklumkan lelaki itu selamat.

“Dalam situasi ini, kami bersyukur dia sudah selamat, cuma perlu ada rasa kebertanggungjawaban. Dia membuat tindakan yang tidak relevan seperti ini pada keluarga terdekat, orang awam serta pasukan penyelamat dan pihak berkuasa jadi dia perlu lakukan sesuatu untuk memulihkan situasi ini.

“Pasukan keselamatan sudah berhari-hari berkampung di lokasi untuk mencari dan menyelamatkannya. Kita berusaha menjalankan tugas sebaik mungkin untuk mencari orang hilang, namun perkara berlaku sebaliknya,” katanya.

Sabtu lalu, Raiz Mukhliz mendedahkan lelaki berusia 38 tahun itu didapati mereka cerita berhubung kehilangannya di sungai terbabit.

‘Insiden’ itu juga membabitkan adiknya lelakinya berusia 30 tahun yang bersubahat menolak kereta ke sungai terbabit dan berpura-pura menjalankan usaha pencarian bagi mengaburi siasatan polis.

Kejadian sebenar terbongkar apabila terdapat keraguan dalam laporan dikemukakan pada hari kejadian dan adiknya mendedahkan lelaki itu melarikan diri ke negara jiran sebelum kembali ke tanah air Jumaat lalu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *