Alya Iman lapor polis difitnah rosakkan rumah tangga Zizi Kirana-Yusuf Bahrin

KUALA LUMPUR – Pelakon, Alya Iman atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil, tampil membuat laporan polis susulan dakwaan mengaitkan dirinya sebagai punca pergolakan rumah tangga pasangan selebriti, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin.

Alya, 24, mendakwa bahawa fitnah yang dilemparkan itu bukan saja menjejaskan kerjaya seninya, malah turut memberi kesan terhadap kesihatan mental beliau.

Katanya, beliau mengeluarkan kenyataan rasmi berikutan isu sedang tular dalam media sosial yang mengaitkan namanya sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan selebriti.

“Akibat isu ini, saya menjadi sasaran tohmahan dan fitnah netizen yang menyebarkan pelbagai kenyataan tidak berasas, mencaci serta melabel saya.

“Segala tuduhan terbabit adalah fitnah yang mencemarkan nama saya. Disebabkan penyebaran fitnah ini, saya mengalami tekanan, kehilangan reputasi, dan kerjaya saya turut terjejas akibat kecaman terbuka oleh masyarakat.

“Spekulasi dan kata-kata kesat yang dilemparkan secara bebas dalam media sosial, berlaku tanpa sebarang bukti sah,” katanya melalui InstaStory beliau.

Alya menjelaskan bahawa antara tujuan beliau membuat laporan polis ialah untuk memberi pengajaran kepada individu yang sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat palsu.

“Sebagai langkah mempertahankan diri dan maruah saya, saya mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap segala tohmahan serta fitnah yang dilemparkan.

“Saya juga berharap tindakan ini dapat memastikan keadilan ditegakkan melalui saluran undang-undang yang sewajarnya,” katanya.

Alya menegaskan tujuan beliau mengambil tindakan itu adalah sebagai pengajaran kepada mana-mana individu agar lebih bertanggungjawab atas perkara disebarkan, lebih-lebih lagi dalam media sosial yang mudah tular maklumat belum tentu benar.

“Saya tidak menafikan saya bukanlah insan sempurna. Namun, apa yang berlaku pada masa silam biarlah menjadi pengajaran.

“Saya memilih untuk tidak mengulanginya dan terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik. Akhir kata, saya mendoakan agar semua pihak yang terbabit akan diberkati dan diredai Allah SWT,” katanya.

Alya turut memuat naik gambar beliau yang berkebaya hijau, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuat laporan polis terhadap dakwaan merosakkan rumah tangga Zizi dan Yusuf.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *