BRNO, Republik Czech – Pelumba Ducati, Marc Marquez mencatat kemenangan pecut ke-11 musim ini sekali gus memecah rekod pada perlumbaan Grand Prix Czech malam ini, namun sambutannya tertangguh seketika kerana siasatan berhubung pelanggaran peraturan tekanan tayar.
Marquez dan rakan sepasukan Ducati, Francesco Bagnaia terpaksa memperlahankan jentera masing-masing dan melepaskan kedudukan pertama serta kedua disebabkan tekanan tayar yang rendah atau berisiko menerima penalti lapan saat.
Juara dunia enam kali itu melepaskan kedudukan pendahulu, tetapi berjaya memintas pelumba KTM, Pedro Acosta dengan berbaki dua pusingan sebelum melintasi garisan penamat di tempat pertama.
Apabila ditanya sama ada dia berjaya mengelak penalti, Marquez berkata: “Ya, kami berjaya. Sebab itu saya tersenyum. Memang betul ia berada betul-betul di had yang dibenarkan. Ya, kami menunggang dengan selesa.
“Kemudian saya lihat tekanan tayar tidak cukup. Saya cuba memaksa beberapa pusingan dengan membrek lebih keras, tetapi saya sedar itu terlalu berisiko untuk capai tekanan yang sepatutnya. Jadi saya tunggu.
“Saya hanya kekal rapat dengan Acosta untuk menaikkan suhu. Bila saya nampak suhu sudah dalam julat peraturan, tekanan juga sudah ikut peraturan, baru saya serang di pusingan terakhir.”
MotoGP kemudian mengesahkan tiada tindakan lanjut dikenakan terhadap Marquez.
Kini Marquez mendahului carta kejuaraan pelumba dengan 356 mata, diikuti adiknya Alex Marquez yang berada di tempat kedua dengan 261 mata – 95 mata di belakang – selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-17 akibat permulaan yang buruk.
Pelumba KTM-Tech3, Enea Bastianini yang terlepas pusingan sebelumnya kerana apendisitis, berjaya meraih tempat ketiga di litar Brno.
Bagi Pedro Acosta, ini merupakan podium perlumbaan pecut pertamanya sejak GP Aragon 2024.
Bagnaia, yang bermula dari petak pertama, menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh selepas dipintas pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez di pusingan terakhir.
Juara bertahan MotoGP, Jorge Martin pula menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 dalam penampilan pertamanya sejak cedera paru-paru dan rusuk lebam dalam kemalangan di Qatar pada April lalu. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001