PWPPRCSWKM komited martabatkan dikir barat sebagai seni budaya warisan bangsa  

MACHANG – Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia (PWPPRCSWKM) merakamkan penghargaan kepada kumpulan Dikir Barat Titih Pusaka CSWK yang aktif memartabatkan seni budaya warisan bangsa.

Yang Dipertuanya, Fadzillah Hussin berkata, dikir barat bukan sekadar hiburan, bahkan sebagai wadah penyampaian mesej, pendidikan masyarakat dan lambang keindahan bahasa serta budaya orang Melayu di Pantai Timur khususnya di Kelantan.

Kumpulan itu, katanya, menjadi tunjang dalam mengekalkan identiti budaya masyarakat Melayu daripada terus ditelan arus modenisasi dan globalisasi.

“Tanpa mereka, sudah tentu seni warisan seperti dikir barat ini boleh pupus dan hilang ditelan zaman.

“Atas kesedaran ini, pihak PWPPRCSWKM menyumbangkan sedikit modal bagi pembelian alat pembesar suara untuk membantu kumpulan ini persembahkan bakat mereka dengan lebih berkesan, sama ada di pentas kampung, sekolah mahupun di peringkat negeri.

“Sumbangan ini mungkin kecil dari sudut nilai, tetapi besar dari segi maksud kerana ia adalah simbol sokongan kami terhadap usaha seni budaya tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang tunai untuk pembelian alat pembesar suara kepada kumpulan Dikir Barat Titih Pusaka CSWK di Kampung Che Arus, Merbau Chondong di sini, malam kelmarin.

Pendokong kumpulan itu terdiri daripada belia berusia 16 hingga 30 tahun di ketuai Pengurusnya, Zulkifli Ab. Latif, manakala Tok Juara, Mohd Nazmi Mohd Nawi atau lebih dikenali Mie Raja Wali. 

Kumpulan Dikir Barat Titih Pusaka CSWK ini sentiasa menerima undangan untuk membuat persembahan di kenduri perkahwinan, majlis pelancaran dan sebagainya.

Fadzillah berharap, sumbangan itu dapat dimanfaatkan sebaiknya dan menyeru pihak lain, sama ada agensi kerajaan, NGO, mahupun syarikat korporat turut tampil membantu memartabatkan seni warisan orang Melayu. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *