KUALA LUMPUR – Anak perempuan Robert Kuok, Kuok Hui Kwong akan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shangri-La Asia bermula 1 Ogos ini.
Menurut laporan The Straits Times (ST), beliau telah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif syarikat itu sejak Jun 2016 dan dilantik sebagai Pengerusi pada Januari 2017.
“Shangri-La Asia, yang disenaraikan di Hong Kong dan Singapura dalam makluman bursa hari ini berkata, penyatuan peranan Pengerusi dan CEO di bawah kepimpinan Kuok (Hui Kwong) dijangka meningkatkan ‘kesepaduan strategik dan pelaksanaan operasi dengan memastikan visi yang bersatu dan konsisten di semua peringkat kepimpinan’,” menurut laporan itu.
CEO sebelum ini, Lim Beng Chee telah bersara pada akhir tahun 2022, tetapi masih kekal dalam Lembaga Pengarah sebagai Pengarah Bukan Eksekutif, tambah laporan tersebut.
Laporan itu juga menyatakan, Hui Kwong, 47, akan menerima gaji asas bulanan sebanyak S$94,300 (kira-kira RM312,000), selain bonus berdasarkan prestasi dan manfaat pencen.
Beliau memiliki pegangan saham langsung dan tidak langsung sebanyak 95.57 juta unit dalam Shangri-La Asia, bersamaan dengan 2.7 peratus daripada keseluruhan syarikat.
Shangri-La Group, yang diasaskan oleh Robert Kuok — individu terkaya Malaysia — pada tahun 1971, bermula dengan pembukaan Hotel Shangri-La di Singapura.
Dalam laporan tahunan 2024, Shangri-La Asia mengendalikan lebih 100 hotel, dengan 81 daripadanya dimiliki sendiri, di bawah empat jenama utama iaitu Shangri-La, Kerry, Hotel Jen dan Traders.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001