KUALA LUMPUR – Parti Bersatu memberi mandat kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempelopori kerjasama blok pembangkang dikenali sebagai Barisan Pembangkang Bersatu (United Opposition Front) dengan membentuk persefahaman antara parti di luar gabungan kerajaan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bersetuju membincang dan mengambil pendirian bersama dalam isu yang menyentuh kepentingan rakyat.
“Cadangan ini akan dibincangkan dalam Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) hujung minggu ini,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat MPT semalam.
Mohamed Azmin berkata, MPT juga bersetuju parti itu menyertai ‘Himpunan Turun Anwar’ pada 26 Julai ini, yang dijadual bermula jam 2 petang di Dataran Merdeka.
“Kerahan akan dibuat pada semua peringkat kepimpinan dan orang awam untuk berhimpun secara aman demi perjuangan membebaskan rakyat dari kezaliman dan menjunjung Perlembagaan dan Undang-undang Negara,” katanya.
Selain itu, dalam mesyuarat itu juga, Muhyiddin turut mengarahkan semua pimpinan membantu meningkatkan gerak kerja di kawasan tumpuan Bersatu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Katanya, MPT turut mengikuti perkembangan dan senario politik di Sabah yang memberi keyakinan rakyat negeri itu menerima baik dan mendukung perjuangan Bersatu dan PN.
Azmin turut memaklumkan, MPT juga mengesahkan tarikh-tarikh Persidangan Agung Tahunan (PAT) Tahun 2025 pada 6 Sep sehingga 7 Sep 2025 di Shah Alam, Selangor.
“MPT menerima cadangan dan meluluskan program Infaq Bersatu yang bertujuan untuk mendapatkan dana bagi aktiviti bersatu.
“Sumbangan terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang ingin membantu agenda rakyat terus diperjuangkan bersama Bersatu,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001