KUALA LUMPUR – Petang ini ahli-ahli Badan Peguam Malaysia akan menyertai Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman bermula dari Istana Kehakiman, Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri.
Perarakan sejauh 2.6 kilometer bermula jam 2 petang ini akan berakhir dengan penyerahan memorandum mengandungi empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri.
Tuntutan itu termasuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini, membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan kehakiman dan menangani kekosongan keseluruhan kehakiman.
Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab dalam kenyataan pada 9 Julai lalu berkata, perarakan itu bukan mengenai individu tertentu, sebaliknya demi integriti institusi kehakiman.
Menurutnya, perarakan itu bukan semata-mata untuk para peguam, sebaliknya untuk setiap rakyat Malaysia yang menghargai keadilan.
“Apabila kebebasan badan kehakiman menjadi rapuh, seluruh negara menanggung akibatnya.
“Perarakan itu satu tindakan yang sah di sisi undang-undang, aman dan bersifat simbolik yang mencerminkan komitmen teguh profesion guaman dalam mempertahan Perlembagaan Persekutuan, doktrin pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang.
“Ia adalah kenyataan kolektif bahawa kebebasan badan kehakiman bukan sesuatu yang boleh dirunding dan ia mesti dilindungi daripada sebarang pengaruh luar, sama ada bersifat politik, badan Eksekutif atau sebaliknya,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam kenyataan itu, Badan Peguam Malaysia menolak sekeras-kerasnya laporan portal berita yang menggambarkan perarakan itu sebagai satu bentuk protes terhadap keputusan kerajaan untuk tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Menurutnya, sebarang percubaan untuk menggambarkan perarakan itu sebagai protes, disifatkan sebagai mengelirukan dan menjejaskan pendirian badan itu.
“Fokus Badan Peguam Malaysia adalah terhadap isu-isu struktur dan sistemik yang menjejaskan Badan Kehakiman. Ini termasuk perkembangan terbaru membabitkan kelewatan pelantikan tanpa sebarang penjelasan serta rujukan-rujukan membimbangkan mengenai kemungkinan campur tangan dalam urusan kehakiman yang telah mencetuskan kebimbangan yang serius,” katanya.
Perarakan hari ini adalah hasil keputusan resolusi yang diluluskan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam Malaysia ke-79 pada 15 Mac 2025, lanjutan daripada pertimbangan teliti oleh Majlis Peguam.
Kali terakhir peguam mengadakan perarakan sedemikian ialah pada 17 Jun 2022 bagi membantah pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai siasatan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan).
Polis tingkatkan kawalan
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima permohonan Badan Peguam Malaysia pada Rabu lalu berhubung perarakan itu.
“Pihak polis sudah berjumpa dengan penganjur dan menasihatkan agar tidak melanggar apa-apa peraturan atau kesalahan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan 105 pegawai dan anggota untuk mengawal keselamatan di sekitar Istana Kehakiman dan jalan menuju ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya serta kawasan sekitarnya pada hari perhimpunan tersebut.
“Langkah ini diambil untuk memastikan keselamatan awam dan ketenteraman terjamin,” katanya kepada BH.
Mohamed Usuf berkata, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi segala undang-undang ketika menyertai perhimpunan aman.
“PDRM akan memantau, membantu perjalanan dan mengawal lalu-lintas demi keselamatan dan ketenteraman awam terjaga sepanjang perhimpunan ini berlangsung.
Mohamed Usuf berkata, pihaknya menjangkakan perarakan itu akan disertai sekitar 200 peserta.
Perarakan kebebasan kehakiman: Itu hak Majlis Peguam – Azalina
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semua rakyat negara termasuk Badan Peguam mempunyai hak berhimpun atau berarak mengikut peruntukan yang dibenarkan Perlembagaan.
“Bagi saya itulah demokrasi. Itu hak mereka (Majlis Peguam) jika mereka nak berarak.
“Namun, saya pasti selaku peguam yang kebanyakannya profesional, mereka maklum mengenai Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009.
“Akta JAC 2009 ini lebih kepada satu akta yang menepis, menilai serta mengatur nama-nama (kekosongan jawatan badan kehakiman).
“Akta ini lebih kepada cadangan-cadangan nama (hakim), dan bukan ‘finalization’ (kata pemutus),” katanya. – Laporan Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
