JITRA – “Kami sekeluarga menyerahkan kepada ahli jawatankuasa Masjid At Taqwa, Jerlun untuk melihat kubur arwah abang, kakak ipar serta empat anak saudara di situ.
“Kalau ada sebarang aktiviti mencurigakan di situ, mereka boleh menghubungi polis atau keluarga kami untuk memaklumkan perkara itu,” kata Muhammad Adlan Solehin Ishak, 24.
Muhammad Adlan adalah adik kepada Mohamad Azim Izat Ishak, 32, yang meninggal dunia selepas kereta Proton Iswara yang dipandunya terbabas dan tenggelam dalam Sungai Korok.
Dalam kejadian Sabtu lalu, isteri Mohamad Azim, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka, Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan, turut meninggal dunia.
Jenazah semua mereka ditemui pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Jitra yang melakukan pencarian di lokasi, Isnin lalu.
Pasangan suami isteri mempunyai seorang lagi anak, Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang terselamat dalam kejadian itu kerana tinggal di rumah neneknya di Jerlun.
Dalam pada itu, Muhammad Adlan berkata, dia sentiasa terbayangkan arwah abang kedua dari enam beradik itu kerana dia paling rapat disebabkan mereka berdua adalah anak lelaki dalam keluarga.
Katanya, pihak keluarga tiada masalah sekiranya ada individu yang datang untuk menziarahi pusara arwah abang sekeluarga untuk sedekahkan Al Fatihah atau membaca doa di situ.
“Tapi kalau ada yang nak buat aktiviti mencurigakan, kami tak benarkan,” katanya ditemui hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Masjid At Taqwa, Mhd Shukri Hassan, 62, berkata, ahli jawatankuasa masjid itu turut melakukan rondaan bermotosikal di kawasan tanah perkuburan itu mengikut syif untuk memastikan tiada aktiviti mencurigakan di situ.
Katanya, pihaknya akan memaklumkan terus kepada polis jika ada aktiviti lain dikesan dilakukan di situ.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) akan memantau kawasan perkuburan enam beranak yang maut dalam nahas di terusan Sungai Korok bagi mengelakkan sebarang aktiviti berbentuk khurafat.
Pengarahnya, Datuk Dr Abd Ghani@Zulkifli Zainuddin berkata, pemantauan dilakukan susulan terdapat aduan kemungkinan wujudnya unsur mencurigakan di lokasi perkuburan terbabit.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001