SETAKAT ini ND tidak nampak Rafizi Ramli akan bakar jambatan, selepas tewas kepada pencabarnya, Nurul Izzah Anwar dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR pada 23 Mei lalu.
Kenapa bekas Menteri Ekonomi itu perlu membakar jambatan yang sebelum ini digunakan untuk meneruskan karier politiknya? Dia tentunya tidak akan berbuat demikian.
Ini menunjukkan Rafizi masih mempunyai akal yang panjang. Beliau tidak tergopoh gapah untuk menghancurkan jambatan itu, walaupun beliau dilihat tergeza-geza membuat keputusan meletakkan jawatan dari Kabinet Anwar Ibrahim.
Bagi Rafizi – ini pandangan ND – tinggalkan Kabinet tidak semudah tinggalkan parti dan politik. Berada dalam Kabinet pun tidak bermakna kalau tidak ada kuasa untuk membuat dasar, sedangkan politik dan parti penting kerana ia adalah kuasa kepada segala-galanya.
Jadi, ND beranggapan Rafizi tidak akan membakar jambatan PKR. Dia sudah serasi dengan politik PKR dan jika dia berhenti, maka habis dan tamatlah riwayat politiknya yang dia perjuangkan selama ini.
Rafizi masih muda. Dia masih ada banyak masa untuk bangkit dan bangun. Lagipun, tempoh penggal seseorang dalam jawatan yang dipertandingkan hanya empat tahun sahaja.
Sedangkan, Rafizi, dalam tempoh tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam parti boleh gunakan tempoh berkabung empat tahun ini untuk menyusun strategi sebagai persiapan kebangkitannya empat tahun akan datang.
Sesiapa pun tidak boleh meramalkan apa akan berlaku dalam tempoh empat tahun akan datang, walaupun PRU ke-16 akan hadir pada tahun 2027, iaitu lebih kurang dua setengah tahun dari sekarang.
Dalam politik, apa saja boleh berlaku. Tun Mahathir pernah dipecat dari UMNO, tetapi beberapa tahun kemudian dia kembali menjadi Perdana Menteri kedua kali.
Begitu juga Rafizi, dia mungkin ada masa depan yang cerah pada masa akan datang, kalau dia berusaha dari sekarang.
Sekali kalah, tidak bererti kalah selama-lamanya. Dia tahu dengan perumpamaan ini dan semestinya dia akan praktikkannya untuk masa depan beliau. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001