Mohd Khalid dilantik Ketua Polis Negara baharu

BANGI – Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, 60, dilantik Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu menggantikan Tan Sri Razarudin Husain.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenan pelantikan secara kontrak selepas bersara, Mohd Khalid sebagai KPN bagi tempoh dua tahun mulai 23 Jun ini hingga 22 Jun 2027.

“Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Datuk Seri Mohd Khalid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kerajaan MADANI mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Khalid di atas pelantikan ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khalid dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Perbandingan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau merupakan pegawai yang sangat berpengalaman dalam bidang risikan/keselamatan sejak mula berkhidmat dalam PDRM pada 5 April 1987 apabila ditempatkan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, iaitu setelah tamat Latihan Kepolisan Am pada tahun yang sama.

Selain itu, beliau mempunyai pengalaman berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen dan luar negara, selain pernah memegang jawatan utama sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Pegawai Perhubungan Keselamatan (SLO) London, United Kingdom.

Beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April 2025. Perkhidmatan beliau sebagai Pengarah Cawangan Khas diteruskan selepas bersara dan dilantik secara kontrak mulai 8 April 2025 sehingga kini.

Sementara itu bagi pihak Kerajaan MADANI, Saifuddin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Razarudin Husain atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara sejak 23 Jun 2023.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *