Raof Mokhtar Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kota Raja

SHAH ALAM – UMNO Selangor melantik Raof Mokhtar sebagai Pemangku Ketua Bahagian Kota Raja selepas penyandangnya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz melepaskan jawatan dan meninggalkan parti itu, akhir bulan lalu.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, surat rasmi akan dihantar kepada Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk dibawa dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) parti.

“Yang pergi, biarlah pergi. Sudah biasa UMNO ini pemimpin datang dan pergi. Yang tinggal adalah mereka yang akan terus berjuang membawa panji dan semangat UMNO.

“UMNO Bahagian Kota Raja tidak terkecuali. Raof sebagai Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian serta ketiga-tiga pemimpin sayap dan keseluruhan jawatankuasa sayap akan meneruskan perjalanan aktiviti bahagian seperti biasa.

“Apa yang lebih menggembirakan, tidak ada satu cawangan UMNO Kota Raja yang ditutup,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Mesyuarat Sayap-Sayap UMNO Selangor 2025 yang dihadiri 1,248 perwakilan sayap negeri di IDCC Shah Alam, malam tadi.

Megat Zulkarnain berkata, isu membabitkan Tengku Zafrul tidak sepatutnya menjejaskan kelancaran pergerakan UMNO Selangor.

“UMNO ini bukan terbentuk kerana seorang personaliti, sebaliknya UMNO adalah kita dan malam ini kita dapat lihat ‘kekitaan’ itu untuk bergerak ke hadapan.

“Siang tadi (semalam) saya bertemu beliau (Tengku Zafrul) dalam satu majlis di Matrade.

“Kita tidak ada masalah hubungan, persahabatan macam biasa dan prinsip parti berbeza adalah perkara kedua.

“UMNO Selangor tidak boleh terganggu dengan keputusan ini,” katanya.

Pada 30 Mei lalu, media melaporkan Tengku Zafrul menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai PKR.

Beliau mengesahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli MKT, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *