Perlu ada strategi baharu tangani kemalangan maut jalan raya – Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan supaya meneliti semula strategi keselamatan jalan raya sedia ada dengan penumpuan wajar diberikan kepada aspek pemanduan, mengambil kira banyak kes kemalangan maut berpunca daripada kecuaian, pemandu mabuk dan memandu dalam keadaan berbahaya.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye yang melihat tabiat pemanduan sebagai faktor utama mengakibatkan kemalangan meragut nyawa, khususnya dalam kalangan pemandu kenderaan berat.

“Peningkatan jumlah kemalangan maut di jalan raya kini boleh disifatkan satu tragedi nasional yang amat membimbangkan dan menyayat hati semua.

“Ini bukan semata-mata soal penguatkuasaan tetapi kita perlu ubah budaya pemanduan berbahaya, mengambil kira ramai yang memandu dengan cara begini,” katanya kepada BH.

Lam Thye berkata, sekiranya langkah segera terutama penambahbaikan dan strategi keselamatan jalan raya baharu yang lebih holistik tidak diperkenalkan, dikhuatiri ia memberi risiko lebih besar terutama lonjakan jumlah kemalangan maut harian akibat nahas jalan raya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu melihat secara tuntas isu keselamatan pengguna jalan raya daripada aspek penguatkuasaan, pendidikan, infrastruktur dan pemantauan masa nyata.

“Pada saya, penguatkuasaan itu memang ada, misalnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah jalankan tugas mereka, tapi ia perlu diperketatkan.

“Jika tak cukup penguatkuasa, tambahlah lebih ramai anggota, satu perkara lagi bila keluarkan saman jangan beri diskaun. Dulu ada dasar bagi diskaun supaya ramai bayar saman, tapi dasar ini pada saya perlu diubah.

“Hukuman diberikan mesti tegas, bukan sahaja pemandu tetapi kepada pemilik syarikat atau majikan bagi kenderaan berat dan pengusaha bas. Ini penting bagi memastikan pihak majikan bertanggungjawab bila berlaku kecelakaan dan mereka tidak sepatutnya lari atau tuding jari kepada pemandu sahaja bila berlaku kemalangan,” katanya.

Tambahnya, bagi penumpang bas, mereka mesti diwajibkan memakai tali pinggang keselamatan sepanjang berada di dalam kenderaan.

Lam Thye turut mengesyorkan beberapa penambahbaikan dalam aspek keselamatan jalan raya yang dilihat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan maut.

“Pertama, kenakan hukuman lebih tegas terhadap pemandu cuai dan mabuk. Kedua, wajibkan pemasangan alat had laju dan ‘dashcam’ (kamera papan pemuka) bagi kenderaan berat.

“Ketiga, laksanakan pemantauan masa nyata (real time) ke atas semua kenderaan komersial, keempat baiki infrastruktur jalan raya yang bermasalah termasuk bagi kawasan gelap, adakan pencahayaan serta letakkan papan tanda mencukupi.

“Selain itu, perketatkanlah proses (mengeluarkan) lesen memandu,” katanya.

Isnin lalu, berlaku kemalangan tragisdi Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, dekat Gerik, Perak sehingga meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bas membawa 42 pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza dan terbalik. – BH

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *