SHAH ALAM – Beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi sehingga pagi ini.
Kawasan di tiga zon utama iaitu Shah Alam, Petaling dan Klang terjejas dengan limpahan air menyebabkan pemindahan mangsa serta kerosakan harta benda setakat jam 8 pagi ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Kampung Padang Jawa di Shah Alam menjadi lokasi terjejas dengan kedalaman air mencecah dua kaki, manakala air dilaporkan masih naik secara perlahan.
“Tiga mangsa telah dikenal pasti setakat ini, dengan sebanyak 20 rumah dilaporkan terkesan akibat banjir itu.
“Daerah Petaling pula menyaksikan dua kawasan terlibat iaitu Kampung Tengah dengan paras air dua kaki dan keadaan dilaporkan statik.
“Enam mangsa turut dikenal pasti melibatkan 20 rumah dan PPS bagi kawasan ini dibuka di Masjid Putra Height,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JBPM negeri turut melaporkan, Kampung Seri Aman dinaiki air sehingga dua kaki, namun menunjukkan trend menurun.
“Seramai 120 mangsa melibatkan 30 rumah terkesan. PPS untuk kawasan ini masih dalam pertimbangan dan belum diputuskan.
Di Klang pula, kawasan Taman Seri Jaya dilanda banjir dengan kedalaman dua kaki serta keadaan air dilaporkan statik.
“Lapan mangsa telah dikenal pasti, dengan 10 rumah terjejas. PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai bagi menempatkan penduduk terlibat,” ujarnya.
Kata JBPM Negeri, pihaknya bersiap siaga dan memantau rapi perkembangan cuaca serta keadaan di kawasan terlibat.
“Orang awam dinasihatkan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri serta keluarga,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001