Banjir: Air di Shah Alam mulai surut

KUALA LUMPUR – Hujan berterusan sejak awal pagi Jumaat menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dilanda banjir kilat.

Bagaimanapun, menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim, hasil pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah itu dari jam 7 pagi hingga 9.30 pagi ini, keadaan mulai pulih dengan paras air dilaporkan surut di kebanyakan lokasi.

“Antara kawasan terlibat ialah sekitar Sri Muda meliputi Persiaran Budiman, Persiaran Jubli Perak, Persiaran Perusahaan Seksyen 23, kawasan berhampiran Aeon Big Seksyen 23, Jalan Mantap Seksyen 25/129 serta stesen minyak Shell Seksyen 19.

“Selain itu, penutupan turut dilaporkan di KM 15.3 Lebuhraya Persekutuan melibatkan lorong motosikal serta di Jalan Mat Raji, Padang Jawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Iqbal, keadaan trafik di kebanyakan kawasan yang terjejas kini kembali lancar berikutan paras air mulai surut.

“Cuaca ketika ini dilaporkan hujan renyai dan dalam keadaan terkawal. Bagi kawasan Sri Muda, pengguna jalan raya dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif melalui Lebuhraya LKSA dan KESAS bagi mengelakkan kesesakan.

“Bagaimanapun, lorong motosikal di KM 15.3 Lebuhraya Persekutuan masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan sehingga diberitahu kelak,” jelasnya.

Beliau berkata, pihak berkuasa memaklumkan pemantauan serta laporan perkembangan akan diteruskan dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan cuaca.

“Pusat Kawalan Daerah (DCC) turut dimaklumkan berhubung situasi ini dan bersedia untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya keadaan kembali buruk.

“Orang ramai diminta terus peka dengan perkembangan semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *