KUALA LUMPUR – Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dilaporkan sesak susulan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas selesai menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, peningkatan berganda jumlah kenderaan itu mengakibatkan kesesakan lebih 20 kilometer bermula dari Karak hingga Lentang, setakat jam 10.40 pagi ini.
“Kesesakan ini sudah dijangka dan akan berlarutan hingga esok (Ahad) disebabkan orang ramai dari kampung sudah bergerak pulang ke Kuala Lumpur untuk mula bekerja selepas menyambut Aidilfitri,” katanya kepada Bernama.
Jurucakap memaklumkan, aliran trafik turut mengalami sedikit kesesakan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi laluan E1 dan E2 menuju ibu negara.
“Trafik sesak di laluan E1 dari Permatang Pauh ke Perai, Juru Autocity ke Plaza Tol Juru, Taiping ke Changkat Jering dan sesak lebih 3.8 kilometer dari Terowong Menora ke Kuala Lumpur.
“Di Lebuhraya PLUS, laluan E2 arah Selatan, trafik perlahan dari Kulai ke Sedenak, manakala di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2, aliran trafik dilaporkan masih lancar setakat ini,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001