RIYADH – Satu teks ukiran Paleo-Arab pada batu besar berhampiran sebuah masjid yang sudah tidak digunakan lagi di Arab Saudi kemungkinan besar diukir oleh Hanzalah bin Abi Amir, seorang sahabat Nabi Muhammad SAW.
Walaupun banyak batu bersurat dari zaman awal Islam sudah ditemukan, pengarangnya masih belum dapat dipastikan, kecuali satu di wilayah al-Bahah yang boleh dikaitkan dengan sahabat Nabi Muhammad SAW.
Portal detik.com melaporkan, memetik kajian terbaru yang diterbitkan dalam jurnal Journal of Near Eastern Studies edisi April, ukiran itu adalah ukiran kedua yang dihubungkan dengan Nabi Muhammad SAW.
Ukiran itu menunjukkan pentingnya sejarah pra-Islam di wilayah Hijaz, kawasan yang mana Makkah terletak, serta latar belakang agama pembaca al-Quran pada zaman itu.
Namun, identiti pengarang masih menjadi persoalan. Penyelidik menyatakan bahawa penemuan itu memberikan gambaran awal mengenai zaman permulaan Islam.
“Berbeza dengan kepercayaan popular yang mengatakan Islam lahir dalam cahaya sejarah, kami sebenarnya tidak banyak mengetahui tentang kebangkitan Islam dari sumber kontemporari,” kata Ahmad Al-Jallad, profesor pengajian Arab di Universiti Negeri Ohio dan penyelidik utama kajian itu.
“Zaman itu masih diselubungi misteri. Ukiran-ukiran yang ditemukan memberikan asas sahih untuk menulis sejarah berdasarkan bukti dari zaman tersebut,” tambahnya.
Pada 2021, seorang kaligrafer Turki, Yusef Bilin, yang sedang melawat masjid purba di bandar Taif yang dipercayai dibina oleh Ali bin Abi Talib, khalifah Islam keempat, menemui dua ukiran pada batu besar yang terletak kira-kira 100 meter dari masjid itu.
Bilin menyampaikan penemuannya itu kepada penulis kajian berkenaan. Ukiran itu ditulis dalam skrip Paleo-Arab, yang menggambarkan fasa terakhir dalam abjad Arab pra-Islam.
Pengarang ukiran itu mengenalkan diri sebagai Hanzalah anak kepada Abd Amr-w, dan Abd al-Uzze anak kepada Sufyan.
Teks ukiran itu berbunyi, “Dengan nama-Mu, Tuhan kami, saya adalah Hanzalah (anak) kepada Abd Amr-w, saya mengajak (kamu) untuk takut kepada Allah” dan “Dengan nama-Mu, Tuhan kami, saya adalah Abd al-Uzze anak kepada Sufyan, saya mengajak (kamu) untuk takut kepada Allah.”
Penyelidik menyemak biografi tradisional Muslim mengenai Nabi Muhammad SAW dan rekod genealogis Arab dan mendapati kombinasi nama-nama tersebut sangat jarang.
Salah seorang yang bernama Hanzalah anak kepada Abd-Amr, sepadan dengan kriteria tersebut. Dia berasal dari suku Aus yang menetap di Yathrib (kini dikenali sebagai Madinah) dan dikenali sebagai sahabat Nabi Muhammad SAW dalam literatur Islam awal.
Penggunaan skrip Paleo-Arab juga menunjukkan bahawa ukiran ini dibuat pada akhir abad ke-6 atau awal abad ke-7, yang sesuai dengan garis masa kehidupan Hanzalah, yang terbunuh dalam Perang Uhud pada tahun 625 Masihi.
Nama individu kedua, Abd al-Uzze, merujuk kepada dewi Arab zaman jahiliyyah, al-Uzza, yang memperkuat lagi idea bahawa ukiran ini dibuat oleh individu yang bukan pengikut Nabi Muhammad SAW, atau mungkin belum memeluk Islam pada waktu itu.
Kajian ini membawa penyelidik kepada kesimpulan bahawa Hanzalah yang dimaksudkan adalah sahabat Nabi Muhammad SAW yang kemungkinan besar mengukir kata-katanya ketika dalam perjalanan melalui Taif, mungkin bersama seorang lelaki bernama Abd al-Uzze sebelum memeluk Islam.
“Tidak logik untuk mengatakan ukiran ini dibuat selepas Nabi Muhammad SAW mula berdakwah kerana masyarakat di Taif sangat menentang beliau, dan mustahil bagi mana-mana pengikutnya untuk pergi ke sana dan meninggalkan ukiran ini,” kata Hythem Sidky, seorang penyelidik dan pengarah eksekutif Persatuan Pengajian Al-Quran Antarabangsa di Washington DC.
Al-Jallad menambah bahawa lapisan patina pada ukiran dan corak hakisan menunjukkan bahawa ukiran itu wujud dalam tempoh masa yang lama, sekali gus menolak kemungkinan ia adalah palsu zaman moden.
“Artikel ini adalah satu karya sains yang sangat mengagumkan,” kata James Montgomery, profesor pengajian Arab dan Timur Tengah di Universiti Cambridge yang tidak terlibat dalam kajian.
“Penyelidikan sangat teliti, menyeluruh dan berhati-hati dalam penggunaan bukti, dengan setiap dakwaan disokong dengan rujukan kepada semua bukti yang relevan dan tersedia,” tambahnya.
Walaupun Montgomery menganggap pengenalpastian ini sangat mungkin tepat, beliau masih meragui bahawa Hanzalkah yang disebut dalam ukiran itu adalah individu yang sama dengan yang terdapat dalam tradisi Islam.
“Saya lebih suka menangguhkan penilaian ini sehingga kita memperoleh dua lagi ukiran yang juga memenuhi kriteria penentuan tarikh yang ketat seperti yang digunakan oleh penyelidik,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001