Chemlite Innovation sasar kumpul RM30 Juta daripada IPO Pasaran ACE

Chemlite Innovation sasar kumpul RM30 Juta daripada IPO Pasaran ACE

05/03/2025:

KUALA LUMPUR – Chemlite Innovation Berhad (Chemlite Innovation) menyasarkan untuk mengumpul RM30 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan itu akan menerbitkan 120 juta saham baharu pada harga 25 sesaham.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Chemlite Innovation Berhad, Chong Yuen Fong berkata, hasil dari IPO Pasaran ACE itu akan digunakan untuk pengembangan perniagaan dengan tumpuan utama meluaskan keupayaan operasi, termasuk pembinaan kemudahan operasi tambahan, persediaan bilik bersih, pelaburan dalam jentera dan peralatan canggih serta menubuhkan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang berdedikasi.

“Hasil itu juga akan digunakan untuk memperkukuh modal kerja bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan keperluan operasi,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran prospektus menandakan babak penting dalam perjalanan Chemlite Innovation yang menandakan komitmen untuk mengembangkan keupayaan dan terus memacu inovasi dalam penyelesaian rawatan kemasan permukaan.

“Kemudahan baharu ini, dengan peningkatan kapasiti akan membolehkan kami menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dan seterusnya mengukuhkan diri sebagai rakan kongsi yang mantap dan dipercayai dalam penyelesaian rawatan kemasan permukaan, terutama dalam industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik,” tambahnya.

Menerusi IPO ini, Chemlite Innovation akan mengukuhkan lagi kehadiran pasarannya dan meletakkan dirinya untuk pertumbuhan jangka panjang.

UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. berkhidmat sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk Chemlite Innovation, memastikan proses penyenaraian yang lancar dan berjaya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *