Nahas ngeri Ayer Keroh: Tujuh mangsa masih dirawat, dua di ICU

Nahas ngeri Ayer Keroh: Tujuh mangsa masih dirawat, dua di ICU

MELAKA TENGAH – Tujuh mangsa nahas ngeri melibatkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh Isnin malam, masih dirawat di Hospital Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, dua dari mereka masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Katanya, ia melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang juga anak sulung kepada pasangan suami isteri yang terkorban dalam nahas itu, serta pemandu treler muatan pakaian terpakai.

“Semua tujuh mangsa itu membabitkan empat warga Singapura dan tiga rakyat tempatan, dan juga dua lagi mangsa berada di hospital swasta.

“Mangsa kanak-kanak yang berada di ICU Hospital Melaka akan menjalani pembedahan hari ini manakala adik perempuannya dirawat di wad biasa,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, prosedur pembedahan terhadap pemandu treler juga akan dilakukan bergantung kepada keadaan semasa mangsa.

Dalam nahas menyayat hati itu, tujuh mangsa termasuk lima sekeluarga terkorban dalam nahas melibatkan lima kenderaan iaitu lori Foton, bas persiaran, Perodua Bezza, treler Nissan, dan MPV Toyota Estima.

Mereka yang maut ialah pemandu dan penumpang Toyota Estima, Khairul Ikhwan Mazupi, 32, bersama isteri, Fadzlenna Ramli, 32; serta anak bongsu mereka, Muhammad Umar, 2; dan ibu serta ayah Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang bas persiaran warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.

Sementara itu, kedua anak pasangan malang itu terpaksa menjalani pembedahan.

Prosedur pembedahan terhadap Nur Sofea Humaira yang mengalami patah paha kiri selamat dilakukan pagi tadi, manakala abangnya Muhammad Uwais Al-Qarni yang dirawat di ICU akan dilakukan petang ini selepas tulang paha kanannya pecah.

“Dua beradik ini menjalani pembedahan di Hospital Melaka, yang mana Nur Sofea yang sebelum ini dirawat di wad biasa telah selesai dibedah susulan paha retak, manakala abangnya yang ditempatkan di ICU belum lagi dibedah.

“Muhammad Uwais mengalami kecederaan parah di paha kanannya yang mana tulang pahanya pecah, tetapi apa pun pembedahan terhadap kanak-kanak lelaki itu akan dibuat hari ini juga.

Mengulas lanjut, katanya, sehingga kini semua penumpang bas warga Singapura yang cedera yang dirawat di Hospital Melaka dan sebuah hospital swasta telah dibenarkan keluar.

Katanya, setakat ini hanya dua beradik berkenaan dan seorang pemandu lori membawa muatan pakaian terpakai masih dirawat di Hospital Melaka.

“Pemandu lori itu berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di ICU juga yang mana pihak hospital sedang memantau perkembangannya susulan beberapa kecederaan parah, terutamanya di bahagian kaki.

“Berkemungkinan prosedur pembedahan terhadap pemandu lori itu juga akan dilakukan bergantung kepada keadaannya,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, polis telah merakam keterangan pemandu lori terbabit untuk membantu siasatan kemungkinan wujud kecuaian yang mengakibatkan tayar hadapan lori terbabit tercabut di atas lebuh raya hingga berlaku tragedi berkenaan.

Ujian saringan air kencing terhadap pemandu itu juga menunjukkan dia bebas daripada pengaruh dadah dan alkohol, kata Ashari.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *