KUALA LUMPUR – Kumpulan AmanahRaya melalui Yayasan AmanahRaya melancarkan Misi Bantuan Pasca Banjir ‘AmanahRaya Care’ di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
‘AmanahRaya Care’ digerakkan secara serentak ke beberapa daerah yang terjejas teruk di negeri Kedah dan Kelantan pada 14 dan 15 Disember lalu.
Antara keperluan asas yang disalurkan ialah tilam, bantal, selimut, pek barangan makanan dan keperluan lain bernilai kira-kira RM140,000 kepada hampir 1,000 mangsa di dua negeri berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad, Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata, Kumpulan AmanahRaya berharap sumbangan pasca banjir itu dapat meringankan beban mangsa di negeri tersebut.
“Usaha proaktif ini dilakukan sebagai tanda dedikasi warga kerja terhadap rakyat Malaysia yang ditimpa musibah selain bagi menerapkan sifat empati dan semangat kemanusiaan yang tinggi dalam kalangan pekerja,” katanya.
Tambah beliau, Kumpulan AmanahRaya sentiasa peka dengan perkembangan terkini bencana banjir.
Justeru, inisiatif itu dilaksanakan bagi meringankan beban mereka dan sebagai persediaan untuk menghadapi gelombang kedua yang dijangka melanda negara.
Sebanyak tiga anak syarikat Kumpulan AmanahRaya iaitu AmanahRaya Trustees Berhad, AmanahRaya Kenedix-REIT Manager Sdn. Bhd. dan AmanahRaya Investment Management Sdn. Bhd turut berganding bahu bagi menjayakan misi ini. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252