Hikayat Hang Tuah masih 'berbisa'

Hikayat Hang Tuah masih ‘berbisa’

KUALA LUMPUR – Pengarah teater, Lokman Ghani menganggap teater muzikal Hikayat Hang Tuah ‘Ampun Tuanku, Titah Dijunjung’ sempena Majlis Perasmian Melaka Heritage Festival 2024 di Encore Melaka sebagai karya terbaiknya.

Baginya, bukan mudah menggarap kisah sejarah Hang Tuah untuk dipentaskan sebagai teater muzikal kerana kehebatan pahlawan Melaka terbilang itu sentiasa dinantikan peminat dan penggiat sejarah.

Katanya, dia teruja karya arahannya itu diangkat sebagai teater muzikal istimewa sempena Ulang Tahun Ke-16 Melaka Bandaraya Warisan Dunia bagi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurutnya, dia bersyukur sambutan hangat penonton yang hadir menyaksikan persembahan dua jam yang memiliki elemen Kesultanan Melayu Melaka lebih ratusan tahun lampau.

Jelasnya, antara cabaran utama adalah kesuntukan masa untuk latihan, selain penyesuaian pentas moden dan props yang perlu disesuaikan sepanjang persembahan.

Pementasan dalam auditorium berputar 360 darjah itu mengimbau sejarah silam Melaka menerusi teknologi kreatif penceritaan menerusi sokongan produksi menggunakan aturan imej multimedia moden jelas menghiburkan menerusi aksi drama, sedih, pertarungan, nyanyian dan tarian.  

“Sememang mencabar mementaskan teater muzikal kerana ia perlu digarap dengan teliti dan terbaik menerusi hasil novel dari Belanda yang diberikan kerajaan negeri kepada saya untuk dipentaskan.

“Pada masa sama, saya juga mendapat pandangan daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Jusoh untuk penghasilan lebih menarik sehingga amat sukar dihasilkan.

“Justeru, tidak dinafikan ini adalah karya terbaik sepanjang lebih 40 tahun dalam industri seni,” katanya kepada BH Online.

Yang turut hadir, Ab Rauf, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Hampir 2,000 penonton memenuhi auditorium, termasuk pelancong dalam dan luar negara yang terpaku di tempat duduk sehingga habis persembahan.

Teater berdurasi dua jam itu dibintangi Remy Ishak, Zul Huzaimy, Ashraf Muslim, Aziz M Osman, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan Mubarak Majid.

Salah seorang pelakon, Darren Teow berkata, dia bertuah terpilih watak menteri Maharaja China keempat kerana dapat mengembalikan peristiwa sejarah Melaka untuk tatapan umum. 

Katanya, sebagai anak jati Melaka menjadi satu penghormatan besar buatnya memperkenalkan Hikayat Hang Tuah kepada generasi muda dan pelancong yang datang menonton pementasan teater berkenaan.

Selain itu, katanya, bergandingan bersama pelakon hebat di bawah arahan Lokman sebagai antara kenangan terindah dalam hidupnya terutama di pentas Encore yang boleh berpusing mengikut babak yang dimahukan oleh pengarah. 

Sehubungan itu, kru dan pengarah perlu hafal dan teliti sistem putaran pentas untuk melancarkan jalan cerita divisualkan sepanjang persembahan.

Katanya, secara peribadi, dia melihat keseluruhan persembahan amat menarik terutama Hang Tuah sebagai Laksamana gagah berani, selain mahir dalam pelbagai bahasa menjadikannya perantara untuk Sultan Melaka di benua lain seperti India, China dan Rom. 

Sementara itu, Ab Rauf berkata, pementasan teater digarap daripada naskhah

Hikayat Hang Tuah iaitu manuskrip terawal 1758 yang mengisahkan sorotan pahlawan lima bersaudara dari kecil sehingga dewasa, diikuti menjadi laksamana bijaksana.

Baginya, kata-kata akhir Hang Tuah, ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia’ adalah bicara keramat yang meniti di bibir hingga hari ini dan diharap menjadi panduan kepada generasi muda untuk menjadi insan hebat, sekali gus memupuk kebanggaan terhadap sejarah yang perlu diwarisi. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *