KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali utama perkhidmatan rel dan bas awam di Lembah Klang dan Pulau Pinang, mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih dua pengiktirafan pada Malaysia HR Tech & Innovation Conference & Expo 2026 yang berlangsung pada 22 hingga 23 September lalu, sekali gus mengukuhkan komitmennya dalam memperkasa transformasi serta inovasi latihan dan pembangunan modal insan.
Pada acara tersebut, Prasarana dinobatkan sebagai penerima anugerah HR Tech Organisation of the Year, di mana ia dinilai daripada pencapaian cemerlang organisasi dalam melaksanakan transformasi latihan dan pembangunan modal insan melalui penggunaan teknologi yang memusatkan akses kepada pembelajaran, sumber pengetahuan, penilaian dan analitik, di samping menawarkan pengalaman pembelajaran kendiri, mudah alih, diperibadikan serta disokong teknologi Realiti Maya (VR) dan Realiti Terimbuh (AR).
Platform ini yang dikenali sebagai Prasarana Learning Management System (PALMS) merupakan sistem pembelajaran digital yang dibangunkan untuk menangani cabaran penyampaian latihan secara konsisten kepada semua kakitangan merentasi operasi rel, bas, teknikal dan korporat di Lembah Klang dan Pulau Pinang untuk lebih 13,000 warga kerja.
Pencapaian tersebut turut disusuli pengiktirafan di peringkat individu apabila Muhammad Azfar Amran, 28, telah merangkul anugerah Early Tech HR Professional Award.
Azfar merupakan kakitangan di Jabatan Pembelajaran dan Pembangunan, memainkan peranan penting dalam memacu transformasi pembelajaran digital Prasarana menerusi PALMS, sekali gus memperluaskan akses pembelajaran kepada lebih 13,000 warga organisasi.
Inisiatif beliau membantu mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih berkesan, berskala dan mampan.
Antara pencapaian utama beliau ialah melaksanakan bengkel pembangunan e-Module kepada lebih 50 jurulatih Rapid Bus, MRT dan LRT serta turut membangunkan garis panduan, video tutorial serta kempen promosi yang membolehkan jurulatih menghasilkan kandungan digital sendiri dan meningkatkan penggunaan PALMS di seluruh organisasi.
Menurut Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Prasarana, Dr. Harigaran Bharatham, pengiktirafan ini mencerminkan usaha dan komitmen berterusan Prasarana dalam memperkasakan pembangunan modal insan serta membangunkan keupayaan organisasi seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan dunia pekerjaan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Pengiktirafan berprestij ini bukan sahaja mencerminkan pencapaian membanggakan Prasarana, malah mengangkat kedudukan organisasi setanding dengan konglomerat terkemuka negara, termasuk daripada sektor perbankan dan telekomunikasi’’, ujar Harigaran.
Persidangan ini telah menghimpunkan lebih 2,000 pemimpin dan inovator bagi membincangkan perkembangan teknologi serta pendekatan berteraskan sumber manusia dalam membentuk organisasi yang lebih bersedia menghadapi perubahan, adaptif dan berdaya saing.
Bertemakan ‘Human at the Core: Reimagining Work, Workforce and Workplace for the Age of Agentic AI’ acara ini turut mengetengahkan peranan teknologi dalam mentransformasi dunia pekerjaan, tenaga kerja dan persekitaran tempat kerja, selaras dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) masa kini.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
