KOTA KINABALU – Empat lelaki maut selepas kereta Perodua Viva dinaiki mereka merempuh sebuah lori dan tiga kenderaan lain yang diparkir di Jalan Sepanggar berhampiran Taman Jaya Diri, Sepanggar, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi itu, kereta berkenaan dipercayai terbabas sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori yang sedang diparkir di tepi jalan.
Rempuhan itu kemudian menyebabkan kenderaan terbabit melanggar tiga lagi kenderaan yang turut diparkir berhampiran lokasi kejadian.
Tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ryanniel Robin, 23; Nicholas Thomas, 24, dan Axelord Nigel Alexander, 21, manakala identiti seorang lagi mangsa masih belum dikenal pasti.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.37 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi dan mendapati keempat-empat mangsa tersepit di dalam Perodua Viva berkenaan akibat rempuhan kuat.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
“Semua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Mohd Hannis berkata, pemeriksaan mendapati kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, operasi menyelamat dan pemeriksaan di lokasi kejadian tamat kira-kira jam 3.55 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan di kawasan berkenaan selamat dan tiada lagi mangsa terlibat.
Katanya, anggota polis trafik turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu turut membantu operasi di lokasi kejadian.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan keadaan sebenar sebelum kemalangan berlaku, termasuk faktor yang menyebabkan Perodua Viva berkenaan dipercayai terbabas dan merempuh kenderaan yang diparkir.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
