PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mewakili badan kehakiman Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah yang meninggal dunia malam tadi.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kenyataan menyebut, Mohamed Dzaiddin yang merupakan Ketua Hakim Negara dari 20 Disember 2000 hingga 15 Mac 2003 telah banyak berjasa kepada badan kehakiman Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
“Kepulangan Allahyarham ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh seluruh warga kehakiman khasnya dan negara amnya,” menurut kenyataan itu.
Mohamed Dzaiddin meninggal dunia pada usia 86 tahun di Hospital Prince Court malam tadi.
Berita pemergian Allahyarham disahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Belasungkawa
Tun Mohamed Dzaiddin adalah tokoh bidang kehakiman dan perundangan yang cukup disegani terutama apabila beliau menjadi peguam pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Anak kelahiran Perlis itu yang berkhidmat selama 20 tahun dalam bidang kehakiman sebelum bersara pada Mac 2003, mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Arau sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dan menyambung pengajian di Barrister-at-Law, Honourable Society of Middle Temple, Inns of Court, London pada 1961. Sebelum diterima masuk ke English Bar sebagai peguam bela pada Jun 1966, Mohamed Dzaiddin bertugas sebagai wartawan dengan akhbar The Malay Mail di Kuala Lumpur pada 1956 dan kemudian menyertai pasukan polis dengan pangkat Inspektor hingga 1961. Pada Januari 1967, beliau diterima masuk sebagai peguam bela serta peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya sebelum berkhidmat di Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Lumpur hingga Oktober 1982. Mohamed Dzaiddin memulakan kerjaya dalam bidang kehakiman sebagai Pesuruhjaya Kehakiman secara separuh masa selama tiga tahun pada 1979 dan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada Oktober 1982 yang kemudian menyaksikan beliau menabur bakti di Kuala Lumpur serta Pulau Pinang. Pada Januari 1993, beliau dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Agung dan kemudian sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.Mohamed Dzaiddin, yang berkahwin dengan Tengku Datuk Paduka Noriah Tengku Ismail dan dikurniakan dua cahaya mata, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2000 dan menyandang jawatan itu hingga 2003. Selain itu, beliau adalah bekas Pengerusi Jawatankuasa Majlis Peguam Kelantan dan wakil negeri ke Majlis Peguam serta Naib Presiden Majlis Peguam Malaysia bagi penggal 1981/1982. Pada 1997, Mohamed Dzaiddin dipilih sebagai Presiden Persatuan Undang-Undang ASEAN dan menyandang jawatan itu hingga Mei 2003 selain merupakan pemeriksa luar Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya. Mohamed Dzaiddin melakar sejarah dalam bidang kehakiman apabila beliau menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas dua rakyat Australia iaitu Kevin John Barlow dan Brian Geoffrey Chambers bagi kesalahan mengedar dadah semasa berkhidmat sebagai hakim di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 1986. Susulan itu, beliau digelar sebagai “hakim yang menggantung” oleh media Barat. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
