Telaga kami sudah kering

Pak Long hendak membuka satu jendela kecil tentang musim kemarau dan kesannya pada kampung yang Pak Long menetap sekarang ini. Musim kemarau yang luar biasa panjang kali ini menyebabkan telaga atau perigi di kebanyakan tempat termasuk kampung Pak Long semakin kering. Cerita tentang telaga kering menjadi satu topik  hangat diperkatakan oleh para pemilik telaga dan penggali telaga di kedai kopi dan juga surau.

Ramai yang berusaha mengatasi masalah ketiadaan air telaga dengan cara ‘melanyau’ atau memperdalamkan telaga. ‘Melanyau’ bermaksud membuang lumpur (lanyau) yang menyebabkan telaga menjadi cetek. Pekerjaan memperdalamkan dan melanyau perigi tidak lengkap tanpa kerek. Biasanya dinding telaga tidak stabil dan runtuh jika tidak diperkukuh dengan kerek. Ini bermakna musim kemarau panjang begini, permintaan kerek sememanganya tinggi. Itulah khabar yang Pak Long dengar.

Din, penduduk kampung sini yang agak rapat dengan kami bercerita masalah telaga rumahnya yang semakin kering; bercerita dengan penuh resah, “Telaga kami di kaki bukit sudah kering. Pagi ini nak ke tandas pun tak ada air. Susah juga nak cari orang untuk melanyau telaga sekarang sebab yang biasa melanyau sibuk, telaga yang sedang digalinya pun belum siap”.  Pak Long bersimpati kerana telaganya yang sedalam 40 kaki sudah kering.  Sebelum ini, biasanya tidak pernah kering.  

Manakala Tahir, seorang penggali telaga yang Pak Long kenal kongsi pengalamannya yang sukar untuk menggali telaga di tempat yang tanahnya keras. Ujar Tahir, anak muda kampung ini, “Bang, sudah berapa malam kami gali (memperdalamkan) telaga tapi belum juga dapat air. Puas nak pecah lapisan batu. Satu hari kalau dapat gali satu kaki pun kira nasib baik. Keras bang dan bahaya juga.” Beginilah kepayahan dan risiko seorang penggali telaga.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Di samping kerja menggali telaga yang laris seperti pisang goreng panas, perkhidmatan boring telaga tiub juga laku sekali. Jika sebelum musim kemarau panjang ini, terdapat pemborong yang dengan yakin menawarkan perkhidmatan boring, ‘ada air, baru bayar’. Sekarang pemborong yang menawarkan bentuk perkhidmatan ini tidak ada lagi. Alasan pemborong kepada pelanggan, “Rugi encik. Di bandar encik ni dan satu lagi bandar berhampiran, sukar sebab kurang air. Sudah banyak kali, kami gagal dalam usaha mendapatkan air yang banyak di tempat yang diboring.” Atas sebab ini pengusaha boring enggan melakukan kerja ‘boring’ di bandar-bandar dan kawasan-kawasan tertentu seperti kampung Pak Long.

Semasa Pak Long bercadang membina telaga boring tambahan, ada pelbagai cadangan menarik yang diberikan untuk mencari sumber air bawah tanah sebelum kerja-kerja boring dibuat. Pertama dengan cara mengguna kelapa tua tua. “Pak Long gunalah buah kelapa tua. Bawa di tapak tangan sambil berjalan. Di mana kelapa tua itu jatuh, di situ tentu ada air.” Di samping kelapa tua sebagai juru tunjuk posisi air bawah tanah, satu lagi teori penduduk kampung ialah mencari busut anai-anai;  hujahnya di mana ada anai-anai, di situ ada air. Katanya anai-anai memang suka tanah yang lembab. Dan ini pula satu lagi petua – petua yang lebih ‘saintifik’ iaitu tutup segenggam garam di bawah tempurung semalaman di beberapa lokasi. Jika garamnya larut di tempat itu, ini bermakna tempat itu ada air dan sesuai untuk dibuat ‘boring’. Sambil ketawa Pak Long katakan, agaknya petua ini berkait rapat dengan sifat hygrosopicnya (sifat dan kemampuan sesuatu bahan menghisap air dari udara) garam. Bila Pak Long membuat carian Google, kaedah seperti di atas memang ada dimuatnaik di Youtube. Memang menarik sekali akal dan pemikiran manusia!

Pak Long diberitahu oleh Fendi, seorang pengusaha boring bahawa sebenarnya ada ‘cara saintifik’ untuk mencari sumber air bawah tanah. Salah satunya ialah dengan menggunakan kaedah ujian resistiviti terhadap elektrik untuk mendapat profil lapisan di bawah tanah atau “subsurface profiling using electrical resistivity test” sehingga ke kedalaman 100 meter.  Kewujudan lapisan air dapat dibaca dan dianalisa dengan ujian di atas. Masalah terbesar kaedah ini ialah kos untuk memperolehi data.  Kerja ‘meninjau’ kewujudan air bawah tanah tinggi dan tidak berbaloi untuk pengguna rumah atau pekebun kecil.

Bagi Pak Long, sesungguhnya “air” banyak dinyatakan di dalam Al-Quran. Salah satu yang memberi kesan pada Pak Long ialah ayat 30, ayat terakhir Surah Al-Mulk:“ Katakanlah (wahai Muhammad): Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering, maka siapa yang akan memberimu air yang mengalir?” Marilah kita sama-sama terus berdoa dan berdoa supaya kemarau yang panjang ini segera berakhir. Aamiin.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

NDTelagakamidahkeringEP24/29Jun24

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *