RANTAU PANJANG – Menjaga kebersihan perlu diamalkan dari bangku sekolah lagi agar ke mana sahaja kita berada akan sentiasa bersih.
Namun, bagi yang tidak cakna dengan konsep kebersihan itu, wajar dididik dengan sedikit ketegasan agar memberikan kesedaran dan pengajaran.

Bagi Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP), mempunyai kaedah tersendiri dalam mendidik pelajarnya menjaga kebersihan dan sentiasa kelihatan kemas.
Kaedah itu ialah pelajar yang masih degil akan dikenakan hukuman mengutip semula sampah yang dibuang merata tempat dengan memasukkan dalam poket seluar.

“Hampir setiap masa kita sarankan pelajar jaga kebersihan sekolah. Buang sampah dalam tong atau bekas yang disediakan. Tetapi jika ada yang masih degil, mereka akan terima akibatnya.
“Kita arahkan mereka kutip sampah itu dan memasukkan ke dalam poket,” kata Guru Disiplin MMRP, Mohd Nasri Mat Idris pada Perhimpunan Khas hari ini.
Beliau memberi amaran itu memandangkan masih ada segelintir pelajar membuang sampah sesuka hati walaupun tong disediakan.

Katanya, ketika beliau bersekolah dahulu, Guru Disiplin sentiasa mengarahkan pelajarnya mengutip sampah dengan mulut.
“Dulu sangat berat hukumannya, tetapi sekarang kita bagi hukuman paling ringan dengan memasukkan sampah berkenaan dalam poket,” katanya.
Pada perhimpunan itu, seramai 17 warga sekolah menerima hadiah sempena hari lahir bermula awal tahun hingga Jun lalu.
Dari jumlah itu, 13 adalah guru, manakala selebihnya kakitangan awam MMRP. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252